10 Lokasi Glamping Best Untuk Korang Terjah Tahun 2022 Ni!
TRAVELGlamping diakui antara aktiviti percutian yang menyeronokkan untuk dicuba bersama keluarga mahu pun rakan.
Berbanding perkhemahan biasa, glamping kini semakin digemari kerana ia menggabungkan konsep glamor dan perkhemahan dalam satu lokasi.
Konsep perkhemahan lama kurang mendapat sambutan kerana perlu menyiapkan sendiri ‘penginapan’ yang akan diduduki.
Ia berbeza dengan glamping kerana anda boleh terus masuk ke dalam khemah dan tidak perlu bersusah payah membinanya sendiri.
Selain itu, ia juga lengkap dengan kemudahan makanan dan tempat tidur yang selesa seperti dilengkapi katil, penghawa dingin dan pelbagai keistimewaan lain sesuai dengan konsepnya penuh glamor.
Namun, untuk setiap kawasan perkhemahan atau glamping, lain kelengkapan penginapannya dan lain juga aktiviti yang ditawarkan.
Ingin cuba glamping? Berikut adalah beberapa lokasi menarik untuk anda bercuti :
1) CANOPY TRIBES
Kawasan glamping ini terletak hanya lima minit sahaja dari kawasan air terjun yang terkenal di Kota Tinggi, Johor.
Ia dikelilingi hutan hujan tropika dan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan antaranya meredah hutan, mendaki Gunung Panti, berbasikal, berkayak, memandu ATV di sekitar kawasan hutan dan macam-macam lagi.
2) CANOPY VILLA GLAMPING PARK
Ia terletak di dalam kawasan hutan hujan di kaki bukit Genting Highlands, Pahang dan hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur.
Khemah didirikan berlatarkan pemandangan indah kawasan gunung-ganang.
Antara aktiviti boleh dicuba adalah menaiki ATV, memancing di kolam bersebelahan dengan khemah, bermain permainan papan, berbasikal di trek berdekatan ataupun ‘trekking’ ke air terjun Bentong.
3) CARAVAN SERAI
Lokasi glamping ini menawarkan penginapan
seperti villa, bilik suite dan khemah safari.
Sekiranya anda inginkan kolam untuk diri sendiri dan tidak kisah untuk bayar lebih, pilihlah penginapan di villa.
Tetapi kalau ingin betul-betul bersatu dengan alam sekitar, tidak lain tak bukan, bermalam di khemah safari adalah pilihan tepat.
Khemahnya cukup luas dan lengkap dengan tandas.
4) KAHANG ORGANIC RICE ECO FARM
Destinasi percutian yang menggabungkan perladangan dan eko pelancongan.
Semua dihasilkan dari ladang ini secara organik. Anda sekeluarga dapat merasai sendiri bagaimana padi ditanam, dituai dan bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh bermain flying fox, meredah hutan, berakit, memancing ikan dan banyak lagi.
5) SAILOR'S REST RESORT
Ia terletak di dalam kawasan hutan Banjaran Titiwangsa yang berketinggian 600 meter dari aras laut.
Jadi, bayangkanlah kesegaran udara yang dapat dihirup di sini.
6) ANT BEACH CAMP
Tapak perkhemahan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai.
Pengunjung boleh menyewa khemah, hammock dan peralatan perkhemahan lain untuk didirikan di sini.
7) THE STICKS KUALA KUBU BARU
Tendok adalah nama yang diberikan untuk penginapan ditawarkan di The Sticks Kuala Kubu Baru.
Malah Tendok adalah gabungan perkataan ‘tent’ dengan pondok.
Antara kemudahan penginapan ditawarkan di sini adalah rumah buluh terletak di bawah lindungan pokok, tendok di tepi sungai yang mana anda boleh melalui laluan khas untuk terus sahaja ke kawasan sungai.
Selain banyak lagi jenis penginapan lain mengikut cita rasa anda sekeluarga.
8) TADOM HILL RESORT
Bagi pencinta aktiviti air dan perkhemahan, Tadom Hill Resorts adalah destinasi yang tepat untuk dikunjungi.
Ia menyediakan pelbagai jenis penginapan menarik berasaskan kayu buluh.
Aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti flying fox, memandu ATV, abseiling dan banyak lagi.
9) TANAH AINA FAHAD
Lokasi popular yang tidak pernah sunyi dari bunyi air terjun yang sangat menenangkan jiwa ditambah lagi dengan kawasan sekitarnya menghijau dengan flora.
Keseronokan bermalam di Tanah Aina Fahad bukan sahaja kerana keindahan kawasan sekitarnya, tapi juga kerana kesempurnaan kawasan resort yang direka bentuk dengan indah dan dalam kondisi sangat terjaga.
10) WALAI PENYU RESORT
Ia terletak bersebelahan dengan Taman Pulau Penyu, Pulau Selingan.
Penginapan yang ditawarkan di sini adalah khemah yang memiliki pemandangan air laut yang membiru.
Sumber: Harian Metro