10 Tempat Menarik Wajib Teroka Jika Ke Pulau Tioman!

TRAVEL
July 07, 2020 - 04:53 PM


Pulau Tioman, Pahang yang pernah tersenarai sebagai pulau paling cantik dan mempesonakan di dunia ini sememangnya 'syurga percutian' buat korang yang inginkan ketenangan serta kedamaian.

Dikuasai oleh hutan hujan yang tebal dan dikelilingi perairan yang kaya dengan hidupan marin, Pulau Tioman menawarkan pengalaman luar biasa untuk pencinta alam semulajadi datang meneroka pulau ini.

Ini 11 lokasi wajib yang boleh korang singgah di sekitar Pulau Tioman untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik ketika bercuti ke sana!

1. BATU MALANG

Lokasi ini tempat yang harus korang pergi sekiranya korang antara yang gemarkan aktiviti menyelam skuba!

Pemandangan laut dalam di Batu Malang sangat menakjubkan dengan pembentukan batu karang, spesies ikan yang jarang ditemui seperti ikan barracuda, butterfly fish, clownfish (Ikan Nemo), cuttlefish, lion fish, parrotfish dan banyak lagi ikan berwarna-warni yang lain.

Percayalah pengalaman menyelam di sini pasti menjadi antara memori manis yang takkan dapat dilupakan sepanjang hidup korang!

 

2. GUNUNG NENEK SEMUKUT

Dengar saja nama gunung ni pun dah tahu yang pasti ada mitos atau kisah di sebaliknya.

Bagaimanapun, gunung ini tiada langsung kaitan dengan ‘nenek’ kerana ianya adalah tentang sepasang naga yang dikatakan pernah wujud suatu ketika dahulu sebelum berubah menjadi batu kerana melanggar pantang larang.

Dalam kisah itu, naga betina berubah menjadi pulau yang kini dinamakan Pulau Tioman. Sebab itu, kalau korang lihat dari jauh seolah-olah ada sebuah kawasan di pulau ini yang berbentuk seperti tanduk naga dan inilah yang dinamakan sebagai Gunung Nenek Semukut.

Manakala naga jantan pula berubah menjadi sebuah gunung bercabang tiga iaitu Gunung Daik.

Selain kisah mitos ini, Gunung Nenek Semukut juga turut terkenal dek kerana pembentukan ‘wajah’ manusia pada bahagian puncaknya. Kalau dilihat dengan teliti, kelihatan seperti wajah seorang lelaki yang lengkap dengan dagu, mulut, hidung dan bahagian dahi.

Lihat sahaja bentuk gunung ini, bayangkanlah kesukaran untuk mendaki menuju ke kawasan puncaknya. Hampir keseluruhan laluan menuju ke puncak memerlukan pendakian. Jadi, pastikan stamina korang betul-betul mantap sebelum cuba menakluki gunung ini.

 

3. GUNUNG KAJANG

Jika Gunung Nenek Semukut adalah gunung yang paling sukar untuk ditakluki kerana kecuramannya, Gunung Kajang pula menawarkan cabaran yang berbeza kepada pencinta aktiviti lasak kerana ketinggiannya yang mencecah awan iaitu 1038 meter!

Inilah puncak tertinggi yang ada di Pulau Tioman dan kedudukannya yang berada di tengah-tengah Pulau Tioman menjadikan ia sebagai ‘tulang’ utama pulau indah ini.

Hutan yang melitupi gunung ini dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna yang unik yang hanya boleh ditemui di sini. Kata orang bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia pun ada di sini!

 

4. AIR TERJUN ASAH

Pulau Tioman sebenarnya mempunyai beberapa buah air terjun tetapi yang paling terkenal dan popular di kalangan pelancong adalah Air Terjun Asah yang merupakan air terjun terbesar di pulau ini.

Ia terletak di bahagian selatan Pulau Tioman dan tidak jauh dari Kampung Mukut. Untuk menuju ke sini, korang perlu berjalan kaki selama 40 minit dari Kampung Mukut dan 20 minit dari Kampung Asah.

Sampai sahaja di kawasan air terjun, korang bolehlah berkelah dan berenang menikmati kesejukan airnya! Dijamin hilang segala penat lelah korang berjalan tadi.

 

5. PROJEK PENYU JUARA

Di Pulau Tioman terdapat 2 lokasi yang menjadi tarikan untuk penyu mendarat dan menetaskan telur mereka iaitu di Kampung Bunut dan Kampung Juara. 

Biasanya penyu-penyu ini datang untuk bertelur dari bulan Februari hingga Oktober.

Jadi kalau korang berminat untuk mengetahui lebih dekat tentang pemeliharaan haiwan terancam ini dan menjadi sukarelawan, korang boleh datang ke Turtle Sanctuary, Kampung Juara.

Dengan menjadi sukarelawan, korang boleh melibatkan diri dalam aktiviti pengutipan telur penyu dan membawanya ke tempat penetasan serta mengawasi kawasan tersebut daripada sebarang gangguan.

Waktu di mana sukarelawan diterima adalah dari bulan Mac ke Oktober. Dalam projek ini, korang akan diberikan penginapan bilik dorm yang lengkap dengan kemudahan asas. Jangka masa minimum untuk menyertai projek ini adalah 4 malam.

Sepanjang penyertaan, korang akan dibawa mengikuti seminar dan melakukan aktiviti-aktiviti menarik yang lain seperti berkayak, jungle trekkng, dan kelas memasak. Wow! Memang best!

 

6. KAMPUNG TEKEK

Kampung Tekek adalah lokasi yang paling penting di Tioman, bukan hanya kerana ianya merupakan kawasan perkampungan terbesar di Tioman tapi juga kerana peranannya sebagai pusat pentadbiran untuk pulau ini.

Sebagai sebuah kawasan yang penting, Kampung Tekek mempunyai fasiliti yang cukup sempurna.

Antara yang terdapat di sini adalah pejabat imigresen, bank, bangunan kerajaan, sekolah, klinik, masjid, kedai-kedai makan dan banyak lagi.

Selain itu, Kampung Tekek juga adalah jalan masuk utama untuk ke Tioman sama ada melalui pengangkutan laut ataupun udara.

Ia juga menjadi tumpuan kepada pelancong yang suka membeli-belah barangan dengan harga murah, memandangkan Pulau Tioman telah digazetkan sebagai Zon Bebas Cukai sejak tahun 2002.

 

7. SALANG

Salang merupakan perkampungan yang paling hujung di Pulau Tioman, disebabkan itu ia merupakan lokasi tarikan yang sangat kaya dengan khazanah laut dan alam semulajadi yang sangat mempesonakan.

Selain boleh melakukan pelbagai aktiviti air, di sini juga korang boleh merentasi hutan hujannya yang tebal dan bukit yang curam melalui denai sepanjang 3.5 kilometer dalam tempoh kira-kira 2 jam.

Dengan menempuhi laluan ini, korang akan sampai ke Panuba Bay dan Kampung Ayer Batang atau  Kampung ABC yang selalu menjadi pilihan pelancong luar negara untuk bersantai dan menikmati keindahan Pulau Tioman.

 

8. MONKEY BAY

Monkey Bay adalah sebuah pantai yang sangat cantik dan terletak di belakang Kampung Salang serta berdekatan dengan Panuba Beach.

Dikelilingi kehijauan hutan yang cukup mendamaikan, Monkey Bay juga sesuai untuk dijadikan lokasi berkelah di mana korang boleh menghamparkan tikar di atas pasirnya yang putih bersih sambil berehat menikmati pemandangan air laut yang jernih bak kristal.

Kejernihan air laut di situ menjadikan ia salah sebuah lokasi snorkeling yang terkenal di Pulau Tioman.

 

9. PUSAT TAMAN MARIN

Salah satu sebab yang menyumbang kepada keindahan luar biasa Pulau Tioman adalah kerana ianya telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara.

Dengan status itu, hidupan marin di pulau ini sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti perikanan.

Bukan itu sahaja, malah korang juga tidak dibenarkan untuk mengutip kulit siput, membawa keluar terumbu karang dan banyak lagi aktiviti lain yang memberi kesan negatif kepada hidupan marin.

Ingat ya, di Pulau Tioman aktiviti menangkap ikan adalah dilarang sama sekali dan perlu berjarak 3 kilometer radius dari pulau ini!

 

10. PULAU TULAI

Berlokasi di bahagian utara Pulau Tioman, Pulau Tulai atau dikenali sebagai "Coral Island" adalah salah sebuah destinasi pelancongan yang cukup terkenal di sini dan untuk ke sini memakan masa kira-kira 1 jam sahaja.

Sebaik tiba di Pulai Tulai, korang mesti terpegun dengan keputihan pasir pantainya dan kebiruan air lautnya.

Untuk menikmati keindahan di pulau ini, korang boleh mendapatkan pakej aktiviti yang ditawarkan oleh pihak resort yang ada di sini.

Ramai juga yang gemar melakukan snorkelling dan menyelam di Pulau Pulai, malah terdapat banyak chalet dan resort yang boleh anda pilih untuk dijadikan tempat penginapan bersama keluarga.

Destination: