7 Kota Dunia Yang Sangat Sesuai Untuk Destinasi Pelancongan Jalan Kaki

September 18, 2019 - 03:15 PM


Melancong dengan berjalan kaki dijangka bakal menjadi trend pada masa akan datang.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Booking.com, 40 peratus daripada pelancong global didapati suka bersiar-siar sambil berjalan kaki, berbanding menaiki pelbagai jenis kenderaan sekiranya mereka berkunjung ke luar negara.

Selain berpeluang menikmati suasana perjalanan dengan lebih dekat dan mesra, berjalan kaki juga ternyata membuatkan pelancong lebih sihat dan segar semasa percutian mereka.

Berikut disenaraikan 7 lokasi pelancongan popular dan mesra sebagai destinasi percutian jalan kaki yang dipilih oleh 500 pelancong yang juga pengguna Booking.com :-

1. Vientiane, Laos

Vientiane tersenarai antara destinasi pelancongan berjalan kaki yang popular di Asia Tenggara dan nama Vientiane sering muncul sebagai cadangan lokasi oleh pelancong antarabangsa yang pernah berkunjung ke Vietnam.

Ini kerana Vientiane menawarkan pengalaman dan pemandangan jalan-jalan yang terbaik sama ada di waktu siang ataupun malam.

Di siang hari, para pelancong boleh menelusuri di tepi jalan raya sambil menikmati keunikan seni bina bangunan kolonial Perancis, bangunan Pha That Luang dan Wat Si Saket. Manakala pada waktu malam pelancong boleh mengunjungi bazar malam yang meriah dengan jualan makanan dan kraftangan di tepi sungai.

 

2. Daegu, Korea Selatan

Daegu turut dicadangkan oleh pengguna Booking.com sebagai destinasi percutian jalan kaki yang menyeronokkan.

Manakan tidak, jika anda berjalan menelusuri lorong-lorong kecil di Daegu, mata anda pasti tertarik dengan pelbagai lukisan mural. Antaranya di Jin-alley, Kim Kwang-seok Road, Samduk-dong dan Duryu Park.

Pada petang hari, pelancong juga boleh mendaki di Apsan Park untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dengan berlatarbelakangkan kehijauan hutan.

 

3. Trois-Rivières, Kanada

Trois-Rivières di Quebec, Kanada ini mendapat pencalonan sebagai destinasi jalan kaki yang popular jika anda melancong ke bahagian Amerika Utara.

Aktiviti yang paling diminati oleh pelancong adalah mengelilingi kota tua Trois Rivières, yang memiliki 50 bangunan bersejarah peninggalan dari tahun 1650.

Selain itu destinasi Jambatan Laviolette yang melengkung di antara Sungai Saint Lawrence juga tidak terkecuali daripada menjadi tarikan.

Di waktu malam, pelancong biasanya memilih untuk berkunjung ke Rue des Forges dan bersantai di restoran dan bar yang banyak di sepanjang Sungai Saint Lawrence hingga Rue Bellefeuille.

 

4. Culiacán, Mexico

Waktu siang hari di Culiacán, pelancong biasanya berpeluang menikmati pemandangan bunga atau menelusuri pemandangan kota dalam perjalanan ke gereja Lady of Guadaloupe.

Ada juga pelancong yang memilih untuk berjalan kaki di tepi jalan bagi membeli dan merasai sendiri keenakan pelbagai street food masyarakat tempatan seperti chilorio, machaca atau hidangan laut.

 

5. Orenburg, Rusia

Orenburg di Rusia menjadi pilihan pengguna Booking.com kerana lokasi ini sangat sesuai dan mesra pejalan kaki.

Orenburg juga memiliki jambatan yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia yang boleh diakses jika anda ke Sungai Ural.

Pada malam hari, kalau tiada sebarang perancangan anda boleh memilih untuk shopping dan berhibur di Armada Mall.

 

6. Edinburgh, UK

Edinburgh yang terkenal sebagai kota abad pertengahan boleh anda terokai hanya dengan berjalan kaki dan jangan lupa untuk melawat ke Istana Edinburgh.

Pada waktu malam anda juga boleh menelusuri The Dark Side iaitu penjelajahan kota menyeramkan, selain ada juga pengalaman seakan dalam cerita Harry Potter atau mendaki ke Loch Lomond, Istana Stirling dan Kelpies.

 

7. Vienna, Austria

Jika anda seorang pencinta seni dan sukakan rekaan struktur yang unik serta luar biasa, anda patut berkunjung ke Vienna, Austria.

Anda boleh habiskan waktu dengan berjalan-jalan mengunjungi Istana Schönbrunn, Katedral St. Stephen, Istana Belvedere, balai kota Rathaus Vienna serta 67 tarikan pelancongan popular lainnya.

Jika anda terasa penat seharian berjalan kaki, jangan risau kerana ada perkhidmatan pengangkutan tram yang disediakan di Vienna.