8 Tempat Best Di KL Bawa Anak Jadi Pencinta Haiwan!

TRAVEL
July 20, 2020 - 10:41 AM


Hujung bulan ini, musim cuti sekolah dah tiba. Mesti ramai ibu bapa yang dah mula sibuk merancang nak bawa anak-anak pergi berjalan dan bercuti, kan?

Pada siapa yang pening kepala tak tahu nak pergi ke mana, jom tengok senarai tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur yang boleh kita bawa anak-anak mengenali haiwan secara lebih dekat.

Barulah anak-anak tak leka dengan gajet dorang dan sekaligus dapat didik mereka jadi si pencinta haiwan!

1. G2G Animal Garden, Serdang

G2G atau ‘Goat To Go’ yang kini popular dan sedang tular di laman media sosial sebenarnya terletak di dalam Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Ia merupakan sebuah ‘petting zoo’ yang baru dibuka pada akhir tahun 2017.

Di sini anak-anak berpeluang untuk bermesra dan bermain dengan haiwan eksotik seperti Bearded Dragon, Macau Parrot, Ayam Serama, Racoon, British Shorthair Cat dan paling seronok bila kita boleh beri makan dan menyusukan kambing serta menunggang kuda poni.

Ramai yang suka bawa anak-anak ke sini kerana harga tiketnya yang sangat berpatutan dan murah berbanding tempat lain. Mana tidaknya, tiket untuk dewasa cuma RM20 dan kanak-kanak RM10 sahaja!

Dah habis bermain dengan haiwan, jangan lupa sebelum balik korang boleh cuba pelbagai menu kambing yang sangat sedap di kafe bersebelahan, hasil ternakan dari taman itu sendiri.

 

2. Aquaria KLCC

Taman akuarium sebesar 60,000 kaki persegi bertaraf dunia ini dekat je dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Antara tarikan utama Aquaria ini termasuklah terowong air 90 meter dengan travelator bergerak.

Di sini, anda boleh berdiri sahaja seperti eskalator mall dan anda akan boleh melihat ikan jerung Sand Tiger (yang kelihatan garang tetapi tidak berbahaya), ikan pari gergasi Arapamia sebesar 10 kaki, juga penyu dan hidupan laut lain berenang di sekitar replika kapal karam Royal Nanhai.

Harga tiket dewasa RM49 dan kanak-kanak RM39 tapi di bawah 3 tahun adalah percuma. Untuk info lebih lanjut boleh layari http://aquariaklcc.com/.

 

3. Farm In The City, Seri Kembangan

Taman haiwan eksotik seluas 7 hektar ini dibina berkonsepkan suasana kampung dan di sini anak-anak berpeluang bermain dengan lebih dekat dan memegang dengan tangan sendiri lebih 160 haiwan yang dipelihara.

Terdapat 16 stesen haiwan yang boleh dilawati. Dibuka bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada waktu bekerja manakala pada hujung minggu dan kelepasan am, ia dibuka setengah jam lebih awal.

Bagi mengetahui harga tiket, boleh layari https://www.farminthecity.my

 

4. Taman Rama-Rama, Tasik Perdana

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur dibuka pada 1992 dan ia ‘syurga’ dipenuhi rahsia rama-rama yang cukup unik dan mengujakan.

Dihuni 5,000 rama-rama daripada 64 spesies yang terdapat di Malaysia, taman berkeluasan dua ekar ini juga mempunyai landskap menarik dengan pelbagai jenis tumbuhan eksotik dan tumbuhan yang menjadi rumah serta makanan kepada spesies serangga unik ini.

Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan kemasukan terakhir pada jam 5 petang, waktu pagi adalah masa terbaik untuk datang dan melihat sendiri rama-rama ini. Ini kerana, pada waktu pagi rama-rama ini keluar mencari makanan.

Tiket masuk untuk kanak-kanak hanya RM7 manakala dewasa RM12. Untuk maklumat lanjut, layari www.klbutterflypark.com.

 

5. KL Tower Mini Zoo

KL Tower Mini Zoo ini terletak di sebelah kiri Menara KL. Nama pun ‘mini zoo’ so janganlah expect ada harimau ke zirafah ke kat sini..memang tak adalah. Tapi menariknya di sini ada pelbagai haiwan-haiwan kecil yang mudah dijaga.

Siapa yang pernah tonton filem animasi, Madagascar yang terkenal dengan telatah comel sejenis haiwan dikenali sebagai cerpelai atau meerkat? Ya, di sini kita boleh tengok live haiwan tersebut yang berasal dari benua Afrika Selatan. Best, kan?

Jadi rugi kalau tak pergi sini. Harga tiket RM37 untuk dewasa dan RM27 untuk kanak-kanak.

 

6. Sunway Lagoon Wildlife Park

Menariknya di Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon ini, ia menempatkan pasangan singa putih yang diberi nama 'Zola dan Zuri'.

Malah ia juga digelar sebagai zoo pendidikan kerana menempatkan lebih 150 spesis haiwan eksotik, burung, ikan, reptilia dan mamalia dari seluruh dunia.

Taman haiwan ini juga berkonsep interaktif supaya pelawat tidak hanya belajar tentang haiwan tetapi turut tidak takut untuk mendekatkan diri dengan ‘kawan-kawan’ baru di sini. Anak-anak pun akan sangat terhibur dengan pelbagai pertunjukan hidupan liar di ‘Wildlife Theatre’.

Semua info boleh didapati di https://sunwaylagoon.com/attraction/wildlife-park/

 

7. Taman Burung KL

Taman Burung ini merupakan taman burung terbuka yang terbesar di dunia! Ia terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Sangkar burung di taman ini dibina dalam hutan hujan tiruan berkeluasan 21 ekar. Di sini terdapat pelbagai spesies burung-burung eksotik yang dikumpul dari seluruh dunia. 

Terdapat 4 zon untuk dilawati dan antara burung yang paling menarik untuk korang selfie bersama ialah  Merak Biru India yang ekornya berwarna warninya sepanjang 5 kaki; Merpati Crowned yang besarnya sudah sebesar ayam belanda; Burung Kakak Tua Pesquet yang hampir tak wujud lagi di dunia; dan Burung Congo Afrika Grey Parrots dikenali spesies nuri paling pandai di dunia.

Tiket masuk pun murah je bagi dewasa hanya RM27 dan kanak-kanak RM 13 sahaja.

 

8. Zoo Negara, Hulu Kelang

Bergelar zoo pertama di Malaysia yang dibuka sejak tahun 1963. Di sini terdapat lebih 5000 haiwan daripada lebih 400 spesies merangkumi mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.

Paling best yang menjadi tarikan di Zoo Negara tentulah Pusat Konservasi Panda Gergasi yang menempatkan pasangan panda dari China iaitu Xing Xing dan Liang-Liang bersama anak mereka.

Untuk segala maklumat boleh ke laman sesawang mereka https://www.zoonegaramalaysia.my/.

 

 

 

Destination: