Asyik Bercuti Pulau Redang & Perhentian Je, Apa Kata Cuba Ke Pulau Bidong Pula!
TRAVELJika sebut tentang percutian pulau antara yang pasti disebut-sebut dan menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara pastinya pulau-pulau yang ada di Terengganu kerana keindahannya yang cukup memukau!
Namun tidak ramai yang pernah dengar atau familiar dengan nama PULAU BIDONG, sebagaimana pulau popular lainnya seperti Pulau Redang dan Perhentian.
Tetapi jangan terkejut sekiranya anda mengetahui bahawa Pulau Bidong juga tak kurang kalahnya dengan Redang dan Perhentian kerana ia memiliki keunikan serta keistimewaannya yang tersendiri.
LATAR BELAKANG PULAU BIDONG
Pulau Bidong terletak di daerah Kuala Nerus, Terengganu dengan keluasan 203 hektar persegi dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam.
Lokasi ini pernah dijadikan sebagai pusat penempatan pelarian dari negara Vietnam suatu ketika dulu, sekitar 1976 hingga 1991.
Menurut catatan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, kependudukan pelarian Vietnam di Pulau Bidong bermula pada Ogos 1978 apabila Kerajaan Persekutuan mewartakannya sebagai pusat penempatan bagi memudahkan urusan bantuan perubatan, makanan dan kemanusiaan kepada warga Vietnam yang melarikan daripada krisis peperangan di negara mereka.
Pada Oktober 1978 jumlah pelarian mencecah sehingga 60,248 orang pelarian direkodkan ditempatkan di pulau ini.
Sehinggalah pada 30 November 1991, Pulau Bidong diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Bermula 2015, Pulau Bidong berada di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Nerus, selepas ia diwujudkan sebagai daerah baharu yang kelapan diasingkan daripada Daerah Kuala Terengganu.
KINI SEMAKIN POPULAR SEBAGAI PULAU PELANCONGAN
Sejak kebelakangan ini, nama Pulau Bidong semakin dikenali umum selepas usaha dilakukan oleh kerajaan negeri untuk memajukan lagi Pulau Bidong sebagai pelancongan berasaskan warisan.
Malah, Pulau Bidong turut mempunyai keunikan tersendiri untuk ditawarkan kepada pelancong selepas menjadi kawasan larangan selama hampir 15 tahun.
Di kawasan jeti utama pulau ini diuruskan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Di sini terdapat tapak kawasan perkhemahan untuk pengunjung dengan kemudahan tandas dan surau.
Pelancong boleh memilih datang seharian atau bermalam dengan mendirikan khemah di tapak disediakan.
Terdapat dua pengusaha pelancongan beroperasi di sini, iaitu Summerset Bidong Island yang mempunyai pusat selaman, Divex Garage dan Bidong Bay Campsite turut menawarkan tapak perkhemahan dan penginapan.
Tidak jauh daripada kawasan jeti terdapat sebuah pusat inkubator pembiakan batu karang diusahakan oleh Yayasan Coral Malaysia (YCM).
Pusat ini menjalankan aktiviti pembiakan koloni batu karang di beberapa lokasi dasar laut sekitar Pulau Bidong bersama komuniti tempatan.
MEMILIKI 11 MONUMEN MINI ASEAN DI DASAR LAUT YANG PERTAMA DI DUNIA
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mempromosikan Pulau Bidong sebagai destinasi pelancongan.
Pada penghujung November 2021, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan tapak selaman baharu yang diletakkan 11 monumen mercu tanda mini mewakili setiap negara ASEAN.
Sebelas mercu tanda mini itu ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Kemboja), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia) dan Shwedagon Pagoda (Myanmar).
Selain itu, Joe Rizal monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand), Tran Quoc Pagoda (Vietnam) dan logo ASEAN Secretariat (ASEAN) turut diletakkan di tapak selaman itu.
Setiap monumen ini dibina khas bagi menunjukkan kepelbagaian dan perpaduan budaya antara negara ASEAN, bakal menarik pelancong serta penggiat selam skuba untuk meneroka tapak selaman terbaharu ini.
LOKASI DIVING YANG UNIK
Lokasi selaman lain sedia ada di Pulau Bidong ialah Galeri Dasar Laut, Ladang Coral, Christmas Garden, Pulau Karah, Terumbu Kerisi, Terumbu Tenggiri, Karang Tengah, Gorgonian Garden, Karang Deloh, Pulau Batu Tengkorak dan beberapa lagi lokasi selaman yang masing-masing ada keunikan tersendiri.
Malah, tapak selaman di Pulau Bidong mampu menjadi tarikan utama untuk datang ke Terengganu.
Pakej tapak selaman ini pastinya menjadi pilihan baharu kepada penggiat selam skuba selain Pulau Tenggol, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.