Selain Pulau Perhentian, Jom Terokai 4 Lagi ‘Hidden Gems’ Terbaru di Besut, Terengganu!
TRAVELNegeri Terengganu sudah semestinya cukup terkenal dengan keindahan pulau-pulau tropika dengan perairan yang jernih, pantai-pantai yang berpasir halus, dan hutan yang masih terpelihara flora dan faunanya. Antara salah satu daerah yang boleh saya katakan mempunyai hampir kesemua elemen yang saya nyatakan itu adalah Besut.
Selain dari lokasi yang sudah cukup popular yang ada di daerah ini seperti Pulau Perhentian, Bukit Keluang, Hutan Lipur Lata Tembakah dan Kolam Air Panas La; masih ada beberapa lagi lokasi baru yang sangat berpotensi dan sedang mendapat perhatian ramai. Nak tahu apa lagi yang boleh korang terokai di sekitar Besut jika datang bercuti ke sini? Jom tengok tempat-tempat menarik ni yang ramai orang tak tahu lagi!
Keindahan Matahari Terbit dan Aktiviti Paragliding di Bukit Bubus
Bukit Keluang sudah menjadi satu lokasi yang tidak asing bagi penggemar aktiviti mendaki bukit jika ke Besut kerana keindahannya berlatarbelakangkan kehijauan hutan di pesisiran pantai.
Namun ramai yang tidak tahu tentang kewujudan sebuah lagi lokasi menarik bersebelahan dengan Bukit Keluang iaitu Bukit Bubus.
Bukit Bubus tidaklah setinggi Bukit Keluang kerana ia hanya memakan masa sekitar 10 - 20 minit pendakian dari lokasi parkir kereta. Jadi tidak menjadi masalah bagi sesiapa sahaja untuk menikmati panorama menakjubkan di Bukit Bubus, sedangkan saya sendiri yang badan agak berisi ini pun mampu sampai ke puncak. Jadi korang pun pasti boleh juga, yang penting pastikan korang buat senaman untuk memanaskan badan dulu sebelum memulakan pendakian.
Bagi korang yang ingin melihat keindahan matahari terbit, Bukit Bubus merupakan lokasi yang paling ideal kerana di sini juga mempunyai beberapa kemudahan seperti kerusi/bangku dan wakaf untuk dijadikan tempat solat. Saya cadangkan, korang datanglah seawal sebelum Subuh supaya korang tidak terburu-buru untuk menikmati keindahan matahari terbit di sini. Masuk waktu Subuh, bolehlah terus solat di wakaf berkenaan.
Bukit Bubus yang terletak dalam jajaran Bukit Keluang ini semakin popular kepada pengunjung dan menjadi tempat tumpuan bagi tujuan rekreasi keluarga, termasuk pelancong dari luar negara. Dengan ketinggian 85 meter dari aras laut, Bukit Bubus turut menjadi lokasi pilihan pengunjung untuk aktiviti paragliding kerana lokasinya yang tinggi serta mempunyai pakej pemandangan indah pantai dan laut.
Harga untuk aktiviti paragliding adalah serendah RM180 termasuk pengangkutan dari 'meeting point' ke lokasi 'Take Off' (puncak Bukit Bubus). Untuk melakukan aktiviti paragliding ni, saya cadangkan untuk korang mengambil pakej dengan ejen yang bertauliah seperti 3A Adventures.
Selain daripada perkhidmatan yang terbaik, paling penting mereka juga mempunyai ramai pekerja untuk membantu memastikan keselamatan kita di tahap maksimum sebelum take-off.
Berikut adalah butiran mengenai aktiviti paragliding jika anda berminat, namun ia semua bergantung kepada keadaan cuaca:
- Harga: RM180-RM350
- Tempoh Terbang: 5-10 minit
- Minimum Umur: 10 tahun
- Maksimum Berat: 90 kg
Alamat:
Bukit Bubus, Pantai Dendong, Jalan Unisza, Kampung Raja, 22200 Besut Terengganu, Malaysia.
- Contact No : www.wasap.my/60132648851 (Jenx)
- Facebook: https://www.facebook.com/3AAdventures.my
- Instagram: https://www.instagram.com/3aadventures.official/
OOTD di D’Baruh Padi Kampung Kerandang, Besut
Selepas menikmati keindahan matahari terbit di Bukit Bubus, korang boleh singgah pula ke Kampung Kerandang yang sedang tular dengan keindahan panorama sawah padinya.
Lokasi menarik ini dipanggil sebagai D'Baruh Padi di mana ia bertukar menjadi sebuah lokasi ‘insta-worthy’ dengan pemandangan sawah padi yang indah hasil usaha penduduk setempat yang ingin menjadikan kampung mereka sebagai sebuah kampung tumpuan pelancong.
Hanya 20 minit pemanduan dari Bukit Bubus dan dengan bantuan aplikasi Waze, korang akan tiba di D'Baruh Padi dengan mudah melalui jalan kampung yang cukup tenang dan mendamaikan. Silap-silap banyak lagi lokasi yang boleh korang singgah sepanjang perjalanan ke sini.
Lokasi D'Baruh Padi ini mempunyai kemudahan parkir dan ianya dibuka secara percuma untuk orang ramai.
Selain dari pemandangan padi menghijau, ada banyak prop bergambar lain seperti buaian beserta replika orang-orang menghiasi setiap sudut di situ. Orang-orang tersebut difahamkan hasil kreativiti dari pertandingan yang diadakan antara penduduk kampung.
Jadi jangan lupa untuk bergambar dengan pakaian yang bersesuaian. Nak tips angle OOTD menarik, boleh buat rujukan di Instagram insta-famous. Hehehe…
Jika hendak ke sini, pastikan korang datang pada waktu yang tepat seperti ketika musim padi sedang menghijau atau sebelum ianya dituai supaya cantik gambar korang nanti.
Alamat:
D’Baruh Padi Kampung Kerandang, Jalan Kerandang, Kampung Gong Nangka, 22020 Jerteh, Terengganu, Malaysia.
Bayaran masuk: PERCUMA
Facebook: https://www.facebook.com/DBPKGK/
Masjid Unik 8 Kubah Ala Rusia
Selepas selesai menikmati panorama indah sawah padi di Kampung Kerandang, dalam jarak pemanduan tidak sampai 10 minit korang boleh singgah di Masjid 8 Kubah atau lebih popular disebut ‘Masjid Rusia’ kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia.
Dari jauh lagi mata korang pasti terpesona dengan keindahan 8 kubahnya yang dicat dengan warna-warna menarik. Untuk pengetahuan korang, masjid ini dikatakan telah dibina dengan kos sebanyak RM4 juta menerusi derma orang ramai bertujuan menggantikan masjid kayu sebelum ini yang telah usang kerana berusia lebih 100 tahun.
Apa yang boleh dibanggakan, masjid ini dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga kerja dan arkitek anak tempatan.
Masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung kapasiti 500 jemaah dalam satu-satu masa.
Bagi korang yang tidak berkesempatan ke Kampung Kerandang untuk menikmati pemandangan sawah padi, jangan risau kerana masjid ini juga berada di sebelah kawasan sawah padi.
Kalau korang tidak mempunyai waktu yang banyak, cukup untuk korang bergambar di platform yang telah dibina khas untuk pengunjung bergambar dan mendapat gambar sudut penuh masjid ini. Sambil menunggu kawan-kawan bergambar, bolehlah berehat sambil minum-minum di kafe yang ada di bawah platform ini.
Alamat:
Masjid Lapan Kubah (Masjid Russia), 1315, Jalan Masjid, Kg. Lapan Kotak, 22000 Jerteh, Terengganu Malaysia.
Bayaran masuk: PERCUMA
Nikmati Keindahan Alam Sekitar di Lata Kolam Air Deru Ecopark
Bagi korang yang bergelar pencinta alam semulajadi atau "nature lovers”, Lata Kolam Air Deru Ecopark adalah destinasi wajib dikunjungi jika bercuti ke Besut.
Lokasi ini merupakan satu tempat perkhemahan yang semakin mendapat perhatian umum kerana keindahan alam sekitarnya yang cukup menakjubkan dengan air sungainya yang sangat jernih.
Mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan dari lokasi Masjid 8 Kubah, Lata Kolam Air Deru Ecopark juga mudah diakses dengan hanya bantuan aplikasi Waze.
Dengan memandu kenderaan sendiri, korang boleh terus masuk ke sini melalui jalan separuh bertar dan separuh berbatu halus dalam kawasan kelapa sawit sejauh 1.4 kilometer.
Untuk pengetahuan korang, Lata Kolam Air Deru Ecopark mempunyai beberapa Pengkalan dengan level (kedalaman) air tersendiri. Bermula dengan Pengkalan paling biasa sehinggalah kepada yang sesuai untuk kanak-kanak mandi, yang dipanggil sebagai Pengkalan Suri.
Paling menjadi tumpuan orang ramai adalah Pengkalan Dua di mana ia mempunyai kedalaman yang cetek dan cukup dalam untuk orang dewasa bermandi-manda. Jadi sangat sesuai bagi golongan ibu bapa yang membawa anak-anak kecik datang beriadah ke sini.
Seterusnya adalah Pengkalan Raja/ Emerald Pool/ Lata Kolam. Lokasi ni seeloknya diakses dengan bantuan staf Lata Kolam Air Deru Ecopark untuk tujuan keselamatan.
Ini kerana kedalaman airnya mencecah 3 hingga ke 5 meter. Individu yang ingin mandi di pengkalan ini akan dibekalkan dengan jaket untuk tujuan keselamatan.
Untuk sampai ke Pengkalan Raja ini, korang boleh berjalan kaki sekitar 15 minit dari pintu Pengkalan Dua atau menaiki kenderaan pacuan roda 4x4. Kereta biasa memang tidak boleh digunakan kerana faktor jalan yang tidak rata.
Selain dari Pengkalan Raja, korang boleh juga terokai Lata Kalong yang mana ianya memakan masa satu jam trekking dibawa oleh tour guide berlesen Lata Kolam. Tempat ni memang wajib korang pergi kalau alang-alang dah sampai ke Lata Kolam ni.
Lebih mudah adalah disarankan untuk korang mengambil pakej VVIP 2 hari 1 malam berharga RM180 sahaja dengan minimum tempahan 10 orang.
Menariknya dengan pakej tersebut korang bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan Lata Kalong itu sendiri, tetapi juga bakal menjelajahi ke beberapa lokasi istimewa lain seperti Air Terjun Pelangi, Air Terjun Lata Parit dan Air Terjun Lata Cetek.
Jadi harga yang korang bayar sangatlah berbaloi-baloi. Tengoklah sendiri bagaimana suasana Lata Kalong ni, seolah-olah korang berada di alam fantasi, kan? Hehehe…
Bagi pakej VVIP ini tempahan perlu dilakukan selewat-lewatnya 2 minggu sebelum tarikh percutian bagi mereka menguruskan proses kelulusan permit Jabatan Perhutanan Negeri.
Selain pakej VVIP ini, korang boleh juga datang untuk day trip atau bermalam di penginapan yang disediakan.
Terdapat pelbagai jenis penginapan yang boleh korang pilih antaranya:
- Dome Tent (3-4 orang): RM50
- Tube Lodge (2 orang): RM60
- Cabin Dorm (5 orang): RM100
- Giant Tunnel (16 orang): RM160
- Glamping (12-15 orang): RM300
Jika korang adalah penggemar aktiviti perkhemahan, korang boleh juga menyewa tapak di sini dan bawa saja peralatan khemah sendiri.
Selain itu, di sini juga ada kemudahan kafe atau warung. Jadi tak usah nak peningkan kepala fikir nak makan apa apabila bercuti dekat sini. Rata-rata hidangan menu yang dijual semuanya sedap-sedap dan cukup menyelerakan.
Selain aktiviti mandi manda, ada banyak lagi aktiviti korang boleh buat antaranya memanah, aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), jungle trekking bersama guide dan banyak lagi.
Dekat sini ada juga ditawarkan aktiviti water rafting dan walking ball pada korang yang berminat. Menarik bukan? Agak-agak kalau stay kat sini 2 hari 1 malam cukup ke tak? Hehehe…
Harga tiket masuk harian ke sini adalah RM3/dewasa dan RM1/kanak-kanak. Manakala harga untuk pakej bermalam dan aktiviti lain, korang boleh terus hubungi pihak Lata Kolam Air Deru Ecopark untuk maklumat lanjut.
Bagi membuat tempahan atau sebarang pertanyaan boleh terus whatsapp atau DM mereka di Facebook.
Alamat:
Lata Kolam Air Deru Ecopark, Jalan Kolam Air Panas La, Kampung La, 22010 Jerteh, Terengganu Malaysia
- Facebook: https://www.facebook.com/AirDeruEcopark
- Instagram: https://www.instagram.com/latakolam_ecopark/
- Telefon (untuk tempahan): +6019 6931662
Berjalan-jalan di daerah Besut/Jerteh ni memang tidak cukup hanya sekadar 2 hari 1 malam sahaja. Bagi saya sendiri, daerah ini mempunyai banyak sangat lokasi menarik dengan pelbagai aktiviti yang korang boleh terokai.
Selepas ini sekiranya rentas negeri dan aktiviti pelancongan telah mula dibenarkan oleh Kerajaan, rebutlah peluang tersebut untuk bawa keluarga dan rakan-rakan pergi bercuti dan terokai sendiri tempat-tempat menarik di sekitar Besut, Terengganu!
Memandangkan negara kita masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), inilah masa yang sesuai untuk korang membuat perancangan untuk percutian akan datang.
Jika dah boleh melancong nanti, ikutilah saranan Menteri Pelancongan YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan melanconglah dengan selamat!