Cuti-Cuti Malaysia, Jom Bercuti Sambil Jadi Pesawah Di Marang, Terengganu!

TRAVEL
June 16, 2020 - 03:28 PM


Bukan semua antara kita bertuah dibesarkan di kampung yang indah dikelilingi sawah padi terbentang luas.

Siapa yang tak jatuh cinta dengan pemandangan sawah padi menghijau dan berwarna kuning keemasan apabila sudah masak, ditambah pula dengan panorama bukit-bukau yang sangat mendamaikan mata sesiapa yang melihatnya.

Bagi yang berasal dari bandar dan tidak pernah merasai suasana desa, pengalaman dapat turun ke bendang dan berpeluang mengetam padi sendiri pastinya sesuatu yang sangat mengujakan!

Kalau korang teringin merasai pengalaman unik ini, jangan lupa untuk berkunjung ke Marang, Terengganu -- kerana di sana ada disediakan sebuah pakej pelancongan baharu yang dinamakan 'Tourism Experience'.

Jika ke beberapa perkampungan daerah Marang, pelancong akan dibawa ke kawasan sawah padi seluas 300 hektar dan diajar untuk melakukan aktiviti tradisional ‘mengetam padi’ yang kini semakin pupus berikutan kecanggihan teknologi dalam bidang pertanian.

Kenapa Marang? Ini kerana daerah itu mempunyai banyak perkampungan tradisional yang memiliki keunikan tersendiri contohnya penanaman padi berskala besar di beberapa lokasi seperti di Kampung Tuman, Kampung Bukit Kolam dan Kampung Jejulong serta paling sesuai untuk pelancong menikmati percutian berasaskan alam semulajadi.

Bagi korang yang tak tahu apa itu 'mengetam padi', ia sebenarnya adalah proses memisahkan padi yang matang dari batangnya menggunakan satu peralatan khas untuk memotong sebelum ia dileraikan menjadi beras.

Mesti ramai antara korang pun tak pernah merasai pengalaman menjadi seorang pesawah atau melihat sendiri bagaimana proses penghasilan beras secara manual dilakukan dari bendang lagi, kan?

Jadi inilah destinasi yang sesuai kalau korang nak bawa anak-anak bercuti sambil belajar dan mendidik mereka agar menghargai bagaimana jerih-perih pesawah menghasilkan makanan ruji untuk kita semua.

Tapi, pastikan semua rancangan percutian itu korang buat selepas Perintah Sekatan Pergerakan berakhir dan penularan pandemik COVID-19 betul-betul reda la ya!

Sumber & Kredit Foto: Bernama

 

Destination: