Lebih 20 Tahun Mohon Bekalan Elektrik 24 Jam, Akhirnya Pulau Redang & Perhentian Bakal Nikmatinya Tak Lama Lagi!

TRAVEL
September 22, 2022 - 12:37 PM


Wow, ini ada berita baik untuk para pelancong yang datang bercuti ke 2 pulau peranginan terkenal di Terengganu iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Dalam tempoh 3 tahun lagi -- penduduk dan pengusaha pelancongan di dua pulau berkenaan tidak akan mengalami masalah saluran bekalan elektrik yang terhad lagi apabila perkhidmatan tersebut bakal disalurkan selama 24 jam.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, projek Pulau Tenaga Hijau itu akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap pada tahun 2025 bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sana.

“Projek ini akan memberi sumber bekalan tenaga kepada hampir 600 pengguna domestik, 70 pengusaha hotel, resort dan chalet, 47 pengguna komersial iaitu sekolah, rumah kedai, masjid, klinik dan kedai makan di dua pulau itu.

“Sebelum ini, penduduk Pulau Perhentian dan Pulau Redang mendapat bekalan elektrik selama 12 jam dan pada waktu selebihnya mereka menggunakan generator,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan sistem pembekalan elektrik 24 jam ke dua pulau peranginan popular tersebut oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diluluskan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 6 Julai lalu.

Ariffin berkata, kerajaan negeri memahami situasi dialami pengguna terutama pengusaha hotel dan resort di kedua-dua pulau peranginan tersebut dan kelulusan projek bekalan elektrik selama 24 jam itu memberi kelegaan.

Katanya, kerajaan sedaya-upaya mahu menyegerakan projek itu, difahamkan lebih 20 tahun pihak berkaitan memohon sumber tenaga elektrik secara 24 jam.

“Akhirnya apa yang diharapkan hampir terlaksana apabila KeTSA sudah meluluskan projek.

“Difahamkan terdapat beberapa kekangan projek ini tidak dapat disegerakan, termasuk kos projek yang terlalu tinggi kerana kabel fiber optik perlu melalui dasar laut sepanjang 21 kilometer di Pulau Perhentian,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

Destination: