Nak Masuk Pulau Perhentian Sebenarnya Pelancong Dicaj 2 Kali Tau. Kenapa Ya?

TRAVEL
September 20, 2022 - 12:28 PM


Mengapa Majlis Daerah Besut (MDB) mengenakan bayaran RM5 kepada pelancong yang mahu ke Pulau Perhentian, sedangkan dalam masa sama, mereka juga dikenakan caj untuk memasuki pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut Negara itu?

Itu persoalan hangat yang sedang berlegar dalam kalangan pengusaha sektor pelancongan di Kuala Besut, menurut Ahmad – salah seorang antara mereka.

Ahmad yang enggan identitinya didedahkan kerana bimbang akan menerima kekangan perniagaan memberitahu, untuk memasuki taman laut itu, pelancong tempatan dikenakan caj RM5 -- manakala pelancong asing perlu bayar sehingga RM30.

Pulau Perhentian diwartakan antara taman laut yang dilindungi di negara ini.

“Kami yang berdepan dengan pelancong asing kerap terima aduan daripada ‘mat salleh’ ini, mereka kata caj itu mahal dan tidak berbaloi. Dulu kena bayar RM30, sekarang jadi RM35 untuk seorang. Kalau datang dengan keluarga? Mereka kata baik pergi pulau di Thailand.

“Kami pun pelik, nak masuk taman laut dah kena caj. Lepas itu, MDB pula perkenalkan bayaran nak masuk ke pulau sama. Kami nampak macam bayaran ini bertindan,” katanya.

Beliau berkata, isu MDB kenakan bayaran kemasukan ke pulau itu timbul di kala aduan demi aduan oleh pelancong asing bersabit caj tinggi untuk memasuki taman laut belum ditangani dengan baik.

Beliau dan rakan pengusaha pelancongan lain bimbang perkara ini akan menjejaskan kemasukan pelancong ke pulau itu kelak.

“Kalau harga untuk pelancong asing tidak lari jauh dengan harga pelancong tempatan, mungkin boleh diterima, sebab kita nak tarik seramai mungkin pengunjung ke pulau ini. Tapi kalau macam ini, kita nampak macam nak sekat pelancong masuk.”

Menurut sumber, media cuba menghubungi MDB untuk mendapatkan pencerahan berhubung isu ini. Jurucakap yang enggan dinamakan mengesahkan dua caj itu daripada dua entiti berbeza.

“MDB baru perkenalkan bayaran RM5 kepada pelancong, tak kira dari dalam atau luar negara. Bayaran ini diputuskan selepas mendapati bilangan pelancong yang berkunjung ke Pulau Perhentian semakin ramai.

“Sudah tentu kami sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik sepanjang berada dalam daerah ini. Contohnya dari segi tempat parkir kereta, sistem lampu untuk keselamatan, kutipan sampah untuk kebersihan dan lain-lain. Itu sebab bayaran RM5 dikutip,” katanya.

Malah katanya, MDB mempunyai hak untuk mengenakan bayaran perkhidmatan di bawah Perkara 171 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jelasnya lagi, urusan bersabit taman laut berada di bawah kendalian Jabatan Perikanan Malaysia.

Carian di portal jabatan itu mendapati bayaran RM5 (warganegara) dan RM30 (bukan warganegara) adalah caj pemulihan yang akan dimasukkan dalam Tabung Amanah Taman Laut dan Rizab Laut untuk pengurusan dan penyelenggaraan taman Laut.

Caj pemulihan ini seragam di seluruh negara.

Sumber: Free Malaysia Today

Destination: