Belajar Kisah-Kisah Al-Quran di Quranic Park, Dubai





Dubai sering diberi jolokan sebagai sebuah destinasi percutian mewah, eksklusif dan antara paling mahal di dunia.

Selain terkenal dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia, Burj Khalifa kini bandar raya yang membentuk negara Emiriah Arab Saudi (UAE) membuka 'Quranic Park' atau Taman Al-Quran juga pertama di dunia.

Taman hijau yang berkonsepkan peristiwa-peristiwa dalam Al-Quran itu dibina dengan keluasan 64 hektar.

Ia mempunyai 12 kawasan taman Islamik yang penuh dengan tanaman hijau dan bunga-bungaan yang selalu disebutkan dalam Al-Quran seperti buah zaitun, ara, Habbatus Sauda dan buah delima.

Uniknya, segala penerangan mengenai keistimewaan tumbuhan tersebut dijelaskan menerusi tulisan kaligrafi Arab yang ada pada pohon-pohon di taman itu.

Selain itu, terdapat juga “The Cave of Miracles” atau Gua Mukjizat.

Jika pengunjung masuk ke dalam gua, mereka akan dapat menyaksikan klip video beserta audio yang menceritakan kisah-kisah Nabi yang terdapat dalam Al-Quran.

Ketika ini hanya audio dalam Bahasa Arab disediakan tanpa sari kata Bahasa Inggeris, namun difahamkan tidak lama lagi ia juga akan memasukkan audio dalam Bahasa Inggeris demi kemudahan para pelancong luar.

Sepanjang menyelusuri Gua Mukjizat itu, pengunjung bakal menikmati pengalaman menyeronokkan sambil mempelajari Islam dan Al-Quran dengan cara yang lebih interaktif hasil penerangan menggunakan peta berteknologi 3D dan hologram.

Contohnya seperti kisah mukjizat Nabi Isa a.s. yang menghasilkan dan menghidupkan burung daripada tanah dengan kekuasaan Allah SWT.

Lebih menarik di taman itu juga dibina sebuah tasik buatan seakan terbahagi dua yang melambangkan peristiwa perjuangan Nabi Musa a.s membelah Laut Merah dengan tongkatnya atas perintah Allah SWT.

Ia diberi nama "Al Khawaneej Pond Park".

Bagi mendidik pengunjung terutama anak-anak kecil mengenai buah-buahan sunnah, taman ini juga ditanam dengan pelbagai jenis buah-buahan yang pernah disebutkan namanya di dalam Al-Quran seperti anggur, delima, buah tin, pisang dan zaitun.

Kesemua pokok buah-buahan tersebut ditanam di sebuah tempat yang dinamakan sebagai "Glass House" atau Rumah Kaca.

Malah, pengunjung juga dapat mempelajari fungsi buah-buahan kegemaran Nabi tersebut yang kaya dengan khasiat dari segi perubatan dan kesihatan manusia seperti mana yang difirmankan Allah SWT di dalam kitab suci tersebut.

Taman pendidikan yang mempertontonkan mengenai keindahan agama Islam itu telah menarik kunjungan lebih 100,000 pelancong pada minggu pertama sejak ia dibuka secara rasmi pada 29 Mac 2019.

Bayaran masuk ke taman ini adalah percuma.

Namun, caj minimum dikenakan jika pengunjung mahu ke tempat tarikan utama seperti Glass House dan Cave of Miracles iaitu masing-masing sebanyak AED 5 atau kira-kira RM5.60 setiap seorang.

Taman Al-Quran ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Kredit Foto: mybayut

 

 

 

;