Galeri Diraja Tuanku Ja’far – Muzium Kenangan Almarhum DYMM Tuanku Ja'afar, YDPA Ke-10

TRAVEL
May 07, 2019 - 01:13 PM


Memasuki perkarangan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, tersergam bangunan putih berkonsepkan moden colonial yang terletak ditengah-tengah bandar Seremban. Bangunan seluas 44 ribu kaki persegi ini sebenarnya telah siap sejak tahun 2013 lagi dan ia menempatkan lapan buah ruang pameran utama dan satu ruang pameran sementara.

Untuk yang belum tahu, Galeri Diraja Tuanku Ja’afar merupakan sebuah muzium yang dibangunkan untuk memperingati dan menghidupkan kenangan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 pada tahun 1967 dan telah memerintah Negeri Sembilan selama 42 tahun. Pada tahun 1993, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-10.

Pameran yang ada di galeri diraja ini berkonsepkan perjalanan peribadi Almarhum Tuanku, yang mana pengunjung akan mengikuti susur masa selain paparan perjalanan biografi Tuanku Ja’afar dalam 8 ruang pameran berbeza.

Selain menempatkan pelbagai koleksi peribadi milik Tuanku Ja’afar, koleksi ini dipersembahkan seiring dengan kisah perjalanan kehidupan DYMM Tuanku Ja’afar daripada kecil, sehinggalah kemuncak kehidupan yang mana baginda memerintah Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-10 dan kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-10 mengikut sistem penggiliran dan pada waktu itu menggantikan Almarhum Tuanku Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

 

Ruang Pameran

Bahan-bahan pameran yang dipersembahkan di galeri ini menggunakan pelbagai jenis medium komunikasi. Ada pameran visual, lisan dan juga interaktif.

Ruang pameran yang ada di galeri ini terbahagi kepada 8, iaitu :

  1. Sejarah dan Raja-Raja Negeri Sembilan
  2. Mengenal Almarhum Tuanku Ja’afar
  3. Zaman Membesar
  4. Kerjaya Awal
  5. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 (1967 – 2008)
  6. Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-10 (1994 – 1999)
  7. Permaisuri Baginda, DYMM Tunku Ampuan Tuanku Najihah binti Tunku Besar Tunku Burhanuddin
  8. Keluarga Diraja

Berpeluang melawat ke galeri ini minggu lepas, memang ia adalah sesuatu yang lain daripada yang lain. Bukan senang kita nak melihat koleksi peribadi seseorang pemerintah.

Selain itu, pujian harus diberikan dalam penyusunan dan pengarapan cerita dari permulaan sehinggalah penghujung galeri.

Koleksi Kayu Golf Almarhum Tuanku Pun Ada tau! 

Waktu Operasi : 10 pagi – 5 petang setiap hari, kecuali Isnin (tutup).

Bayaran Masuk :RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kakak, warga emas dan OKU.

Alamat : Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Jalan Taman Bunga, 70100, Seremban.