Gelongsor Escape Pulau Pinang Atasi Rekod Action Park Amerika Syarikat

TRAVEL
June 24, 2019 - 11:23 AM


Siapa sangka Malaysia bakal memecahkan rekod dunia apabila memiliki gelongsor air terpanjang di dunia!

Gelongsor air sepanjang 1.140 kilometer (km) itu terletak di Taman Tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang dan akan mula dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini.

Menurut Bernama, gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada fasa ketiga 'Gravity Play’, hujung bulan depan dan akan mengatasi rekod dunia 0.602 km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.


Wakil daripada Guiness World Records dijangka hadir semasa pembukaan rasminya 2 bulan lagi untuk meneliti kelengkapan permainan tersebut sebelum memberi pengiktirafan dunia kepada gelongsor yang dibina di kawasan bukit menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’ itu.



Bagi menyiapkan fasa ketiga "Gravity Play", ia menelan kos sebanyak RM10.6 juta termasuk pembinaan satu laluan kereta kabel untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.



Kereta kabel terbabit akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu dan penggunaan kereta kabel berkenaan amat unik memandangkan ia akan melalui kawasan hutan.

Dengan tarikan terbaharu itu, Escape diharap menjadi lokasi wajib untuk pelancong sekiranya mereka berkunjung ke Pulau Pinang.



Setakat ini, Escape mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, "flying fox' dan 'kite flyers' di Adventureplay serta "water slide", "lazy river", "speed racer" dan "waveball" di Waterplay.

Berikut adalah harga tiket untuk pakej Adventureplay & Waterplay. Escape tidak menjual tiket secara berasingan untuk kedua-dua bahagian tersebut. Sebarang info dan maklumat lanjut boleh layari laman web Escape.