'Go Selangor' - Aplikasi Pelancongan Baharu Rancang Percutian Di Selangor

TRAVEL
August 03, 2021 - 05:52 PM


Bagi menggalakkan budaya melancong secara selamat dalam era pandemik Covid-19, Tourism Selangor tampil menawarkan sebuah aplikasi pelancongan baharu yang diberi nama "Go Selangor".

Aplikasi yang dibangunkan secara bersama dengan sebuah syarikat digital tempatan iaitu TourPlus Technology Sdn Bhd adalah kesinambungan inisiatif bagi merancakkan lagi promosi Kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ 

Menerusi aplikasi Go Selangor, masyarakat kini berpeluang untuk mendapatkan segala maklumat produk pelancongan yang ada di Selangor terutama 'hidden gems' atau lokasi-lokasi menarik yang jarang diketahui ramai -- semuanya di hujung jari.

Bukan itu sahaja, malah mereka yang merancang untuk melakukan percutian selepas dibenarkan aktiviti rentas negeri juga boleh membuat tempahan penginapan dan makanan, pakej pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, pembelian cenderamata serta banyak lagi hanya menggunakan aplikasi berkenaan -- sekaligus mengehadkan komunikasi secara fizikal bagi mengelak penularan wabak.

Malah, aplikasi Go Selangor juga ibarat sebuah 'one stop centre' buat pemain industri pelancongan di Selangor bagi mempromosikan produk mereka serta membantu untuk golongan tersebut bangkit semula selepas terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Lebih menarik, aplikasi travel itu juga bersifat mesra pengguna apabila mudah dikongsikan menerusi pelbagai medium komunikasi seperti WhatsApp dan pengguna juga boleh memuatnaik foto, video serta pengalaman peribadi mereka ketika bercuti di mana-mana destinasi menarik di sekitar Selangor.

Aplikasi Go Selangor diumumkan secara rasmi ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TourPlus, Rickson Goh secara virtual menerusi Facebook Live pada Selasa.

Menurut Azrul, meskipun Selangor kini merekodkan kes Covid-19 yang tertinggi namun sebenarnya ia tertumpu di tempat pekerja asing manakala kawasan lain di negeri berkenaan masih lagi selamat untuk dilawati.

Oleh itu, aplikasi Go Selangor dilihat sebagai satu usaha terbaik bagi menarik pelancong domestik datang bercuti dalam suasana yang lebih mudah dan selamat.

Aplikasi Go Selangor boleh dimuat naik di telefon pintar melalui Google Playstore dan App Store.

 

 

Destination: