Susah Nak Faham Bahasa Orang Tempatan Ketika Travel Ke Luar Negara? Ini 7 Aplikasi Wajib Anda Download!
Semasa kita mengembara ke negara orang, antara cabaran yang bakal dihadapi tentunya adalah dari segi masalah bahasa dan pertuturan.
Kadang-kala disebabkan halangan dan kekangan tersebut menyebabkan ramai antara kita lebih gemar memilih untuk bercuti ke negara di mana penduduknya lebih banyak berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa yang mudah kita fahami.
Namun sebagai pengembara atau pelancong pada zaman yang serba canggih hari ini, masalah bahasa lebih mudah diatasi dengan bantuan daripada teknologi telefon pintar yang kita miliki.
Berikut adalah 7 aplikasi yang boleh menyelamatkan anda daripada berdepan masalah kekeliruan bahasa ketika travel ke luar negara.
1. GOOGLE TRANSLATE
Aplikasi ini adalah wajib anda muat turun sebelum anda travel ke mana-mana negara. Dengan lebih daripada 500 juta pengguna, Google Translate memiliki banyak ciri yang berguna.
Sebagai contoh, anda boleh menaip teks dalam satu bahasa dan mendapatkan terjemahan segera dalam bahasa yang anda pilih. Anda juga boleh bercakap ke dalam mikrofon dan aplikasikannya dalam bahasa yang berbeza.
Meskipun tanpa sambungan internet, aplikasi ini menyediakan kemudahan dalam 59 bahasa yang tersedia secara offline. Malah, Google Translate juga membolehkan anda untuk melibatkan diri dalam perbualan masa secara live dengan penduduk setempat.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android
2. DUOLINGO
Aplikasi Duolingo yang menggunakan maskot burung hantu hijau ini menawarkan kemudahan dari segi pertuturan atau perbualan harian yang ringkas dan menyeronokkan ketika anda travel.
Duolingo mempunyai 200 juta pengguna aktif yang mempelajari pelbagai jenis bahasa, termasuk Sepanyol, Perancis, Jerman, Itali, Rusia, Portugis, Turki, Inggeris dan baru-baru ini diluaskan kepada bahasa Romania & Swahili.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android (Untuk Langganan Bebas Iklan $9.99 sebulan)
3. HELLO TALK
Dengan menggunakan aplikasi Hello Talk, ia bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah bahasa yang anda alami bahkan turut dapat menolong orang lain.
Ini kerana Hello Talk menghubungkan pengguna dengan orang yang bercakap bahasa yang mereka perlukan melalui ruang sembang dan panggilan audio percuma.
Menawarkan lebih daripada 100 bahasa, HelloTalk juga menyokong pengalaman interaktif menerusi terjemahan dan alat pembetulan tatabahasa.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android
4. TRIPLINGO
Jika anda memerlukan maklumat kecemasan, penukaran mata wang, pengiraan tip atau info penting mengenai etika penduduk tempatan di negara yang anda kunjungi, TripLingo adalah aplikasi yang tepat.
Selain menawarkan penterjemah suara dalam 19 bahasa, aplikasinya juga menyediakan penterjemah manusia yang sentiasa bersedia untuk membantu anda secara live namun dengan sedikit bayaran tambahan.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android
5. TANDEM
Mungkin cara paling cepat untuk mempelajari bahasa baru, terutama perbualan harian, adalah dengan membuat kenalan di negara yang dilawati.
Dengan lebih daripada 150 bahasa untuk dipilih dan komuniti mencecah sejuta orang, Tandem membenarkan untuk anda memilih pasangan yang menguasai bahasa yang ingin anda pelajari.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android
6. WAYGO
Waygo adalah aplikasi yang paling sesuai untuk anda gunakan sekiranya ingin mengetahui atau membaca tulisan menu yang terdapat di bungkusan makanan atau restoran di beberapa negara Asia terutama China, Korea dan Jepun.
Aplikasi ini berfungsi untuk membaca huruf menggunakan kamera telefon anda, sebelum menterjemahkan serta menghuraikannya untuk pemahaman anda. Menariknya, Waygo juga boleh diakses secara offline.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS & Android (Versi Terhad)
7. iTRANSLATE
iTranslate merupakan satu aplikasi yang menggunakan teknologi pengenalan suara bagi memastikan perbualan yang lebih lancar dapat diwujudkan antara pelancong dan penduduk tempatan.
Ia menukarkan ucapan suara ke dalam terjemahan perkataan menerusi lebih 100 bahasa.
Terbaharu, aplikasi ini turut memperkenalkan kamus visual dengan keupayaan untuk mencadangkan perkataan yang ingin diterjemahkan menerusi pemadanan dengan objek yang ditunjukkan menerusi bentuk gambar.
**MUAT TURUN: Percuma Untuk IOS sahaja.