Ini 7 Aktiviti Pelancongan Utama Di Langkawi Dapat 'Lampu Hijau' MOTAC

TRAVEL
September 03, 2021 - 08:47 PM


Memandangkan 16 September ini, Pulau Langkawi bakal 'membuka pintunya' kepada pelancong domestik --Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyenaraikan 7 aktiviti pelancongan utama yang dibenarkan untuk beroperasi.

Menerusi sebuah kenyataan dalam Facebook rasmi MOTAC, kesemua aktiviti tersebut diberi kebenaran untuk dijalankan bersempena pembukaan semula destinasi pelancongan popular di utara tanah air itu yang menjadi projek rintis di bawah program 'travel bubble' atau gelembung pelancongan.

7 aktiviti pelancongan utama yang diberi 'lampu hijau' itu adalah seperti berikut :-

1) Penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran serta acara-acara pelancongan & kebudayaan.

2) Produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

3) Aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal, memancing, pelayaran dan sebagainya.

4) Aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, 'jungle trekking' dan sebagainya.

5) Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain.

6) Taman tema dan pusat hiburan keluarga.

7) Lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.

Selain itu, MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.

Malah, MOTAC turut akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa.

Semalam (2 Sept) -- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Sumber: BERNAMA

Destination: