Langkawi & Pulau Peranginan Utama Negara Jadi Destinasi Awal 'Gelembung Pelancongan'
TRAVELIni berita baik kepada individu yang telah lengkap pengambilan 2 dos vaksin dan ingin memulakan aktiviti pelancongan domestik, terutama di negeri-negeri berstatus Fasa 2 & 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagi peringkat permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan selepas lebih setahun industri pelancongan terkesan akibat pandemik.
Atau dengan erti kata lain, aktiviti pelancongan di pulau lagenda itu akan mula dibenarkan beroperasi hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya yang dianggarkan 108,400 orang.
Manakala kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.
Cadangan projek perintis ini difahamkan sedang diteliti oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini.
Bukan itu sahaja, malah terdapat juga beberapa lagi destinasi pelancongan utama negara yang akan turut menyertai gelembung pelancongan berkenaan.
Apa yang pasti destinasi yang dipilih nanti adalah lokasi yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang mudah dikawal seperti pulau peranginan.
Walaubagaimanapun, semuanya akan diputuskan selepas melihat hasil projek perintis Pulau Langkawi berjalan lancar terlebih dahulu.
Untuk rekod -- penduduk di Langkawi yang telah menerima vaksin dos pertama dan kedua adalah seramai 88,137 serta tahap imuniti kelompok dijangka berjaya dicapai pada hujung bulan Ogos ini.
Sumber: Bernama