Jika Ke Sarawak Jangan Lupa Singgah Di Semenanjung Damai Ye...
TRAVELKisah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang begitu sinonim dengan Sarawak merangkumi segala ramuan yang tepat untuk menjayakan sesebuah sinetron, drama, mahupun lipur lara waktu perdana.
Kisah persaingan sengit dan sikap cemburu antara dua puteri 'kayangan' kerana merebut cinta seorang putera raja menjadi tema utama cerita yang berakhir dengan Santubong disumpah menjadi Gunung Santubong.
Cerita rakyat popular yang diperturunkan dari generasi ke generasi Sarawak ini begitu sinonim dengan Semenanjung Damai (Santubong), yang terletak sekitar 35 Kilometer (KM) dari ibu negeri Sarawak, Kuching.
Di Semenanjung Damai ini, terletaknya Gunung Santubong setinggi 810 meter yang dikurniakan dengan keindahan pantai yang indah dan hutan hujan tropika, menjadikannya antara destinasi pelancongan terkenal di Sarawak.
Potensi semula jadi yang ada ini telah mendorong kerajaan negeri untuk terus melabur dalam membangunkan kawasan Semenanjung ini melalui pelan bagi membina sebuah resort peranginan mega, dikenali sebagai projek Damai Resort City yang bakal mengubah wajah kawasan pantai yang popular itu.
Projek itu akan merangkumi resort baharu, denai hutan dan kemudahan 'trekking', kawasan kesihatan dan kecantikan, marina dan hartanah komersial di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Selain merancang untuk membina kemudahan baharu, SEDC yang bertanggungjawab untuk menerajui pembangunan produk pelancongan di Sarawak turut merancang untuk meningkatkan kemudahan sedia ada di Damai, seperti Damai Lagoon Resort.
Pengubahsuaian itu akan melibatkan penyelenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf bilik dan kemudahan semasa serta membina kawasan perkhemahan mewah dan Rock Chalet Village baharu di resort berkenaan.
Kekayaan budaya yang terdapat di Sarawak juga merupakan antara tarikan pelancongan utama di sini dan kerajaan negeri juga merancang untuk menambah baik Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Damai. Perkampungan budaya seluas 6.8 hektar itu mempamerkan budaya dan gaya hidup rakyat Sarawak yang terdiri pelbagai kumpulan etnik di negeri ini termasuk bangunan replika Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melanau, Melayu dan Cina.