Jom Bawa Anak-Anak Tengok Dinosaur 'Hidup' Di Pusat Sains Negara!
TRAVELJika anda atau anak-anak anda merupakan seorang peminat dinosaur zaman prasejarah, jangan lupa untuk mengunjungi Pusat Sains Negara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur kerana ketika ini sedang berlangsung satu Pameran 'Dinosaur Encounter'!
Pameran ini bukan seperti pameran lainnya, kerana pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana kehidupan dinosaur pada zaman itu dengan lebih efektif melalui teknologi realiti terimbuh atau Augmented Reality (AR).
Atau dengan erti kata lain, pengunjung dapat melihat dinosaur hidup semula menggunakan skrin tablet (Ipad) yang disediakan.
Ini kerana terdapat aplikasi AR telah dipasang di dalam Ipad tersebut di mana apabila pengunjung mengimbas tulang rangka dinosaur menerusi aplikasi itu, mereka dapat melihat rangka itu seolah-olah hidup semula dan menjadi bentuk asal.
Jadi, pengunjung seakan berada dalam zaman itu dan merasai sendiri pengalaman hidup di zaman pra sejarah ketika dinosaur pupus melalui beberapa fenomena alam semula jadi seperti letusan gunung berapi dan penemuan fosil.
Bagi memberikan pengalaman menyeronokkan AR dan dinosaur animatronic ini kepada para pengunjung, pihak Pusat Sains Negara telah membawa mesin khas dari luar negara untuk membangunkan 18 ekor dinosaur yang terdiri daripada sembilan spesis yang ditempatkan dalam 'Dinosaur Encounter' yang kebanyakannya bersaiz sebenar dengan kerjasama WeGrow Global Sdn Bhd.
Selain pameran dinosaur, pengunjung juga boleh melawat akuarium hidupan marin, akuarium ikan air tawar, galeri Wonderspark, galeri Eureka, rumah akuatik, water plaza dan survive the bunker.
Pameran ‘Dinosaur Encounter’ dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Jumaat bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang dengan bayaran masuk RM15 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak kanak.
Pameran Dinosaur Encounter ini telah menarik lebih 35,000 pengunjung sejak dibuka pada 2 November lepas dan Pusat Sains Negara menganggarkan 50,000 akan mengunjungi pameran itu hingga akhir tahun ini.
Sumber: Bernama