Jom Buat Pecutan Terakhir Ramadhan Di 'Rumah Allah'!

TRAVEL
May 30, 2019 - 04:05 PM


Sedar atau tidak, Ramadhan bakal melabuhkan tirainya beberapa hari saja lagi.

Sayunya rasa hati nak mengucapkan selamat tinggal kepada bulan yang penuh dengan barakah ini.

Ketika ini pasti ramai yang telah mengambil cuti awal untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing dan dapatlah mengambil peluang berbuka puasa pada baki malam-malam Ramadhan bersama keluarga serta saudara-mara di kampung.

Sambil-sambil kita bergembira, jangan lupa untuk meluangkan masa di masjid atau beriktikaf bagi menikmati malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Mana la tau kita masih sempat bertemu dengan Lailatulqadar, kan?

Jadi apa kata jom ajak seluruh ahli keluarga untuk beribadah ke masjid-masjid yang paling cantik di seluruh Malaysia ni!

1. MASJID MUHAMMADI, KOTA BHARU, KELANTAN

Masjid yang dinamakan sempena Sultan Muhammad ke-IV dari negeri ini juga dikenali sebagai ‘Masjid Besar’ di kalangan rakyat Kelantan.

Dibina pada tahun 1867, masjid ini mempamerkan reka bentuk tradisional dengan menggunakan kayu-kayu saja.

Namun ia telah diubahsuai dengan penggantian kayu kepada konkrit pada tahun 1922.

Walaupun begitu, reka bentuk yang klasik dan megah masjid ini tetap simbolik kepada negeri Kelantan sebagai pusat penyebaran ilmu agama Islam yang juga dikenali sebagai ‘Serambi Mekah’.

Masjid ini tidak lah luas mana tetapi masih popular sebagai masjid destinasi bagi warga Kota Bharu. 

 

2. MASJID KRISTAL, KUALA TERENGGANU, TERENGGANU

Masjid Kristal bukan saja popular di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga dikenali di peringkat antarabangsa kerana masjid ini menduduki tempat ketiga masjid tercantik di dunia! 

Diperbuat daripada kaca, besi dan kristal, masjid ini memang sangat menakjubkan!

Lebih-lebih lagi kerana lokasinya yang terletak di Taman Tamadun Islam, Terengganu.

Tambahan pula, rekaannya yang menggabungkan stail tradisional dan senibina yang moden dan inovatif – rugi kalau anda tak singgah di sini untuk beribadah.

 

3. MASJID NEGERI SULTAN ABU BAKAR, JOHOR BAHRU, JOHOR

Masjid ini dinamakan sempena Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim yang memerintah Johor pada tahun 1892.

Reka bentuk dan keluasan masjid ini persis bak istana!

Apa yang menarik ialah masjid ini berbentuk bujur sangkar dan mempunyai 4 buah anjung serta menara kubah.

 

4. MASJID SELAT, MELAKA

Masjid Selat Melaka merupakan sebuah masjid yang terletak di Kampung Bandar Hilir Melaka.

Ia merupakan sebuah masjid yang terletak di Pulau Melaka berhampiran dengan Bandaraya Melaka.

Istimewanya masjid ini kelihatan seolah-olah terapung di atas permukaan air ketika air pasang.

Masjid Selat sering menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negara untuk beribadah dan bagi menikmati keindahan laut Selat Melaka yang terbentang luas dari sebuah rumah Allah yang bercirikan seni bina unik.

 

5. MASJID HUSSAIN, SEREMBAN 2, NEGERI SEMBILAN

Jika anda berada di Negeri Sembilan, sempurnakan solat anda di Masjid Hussain.

Masjid yang siap dibina pada tahun 2012 ini masih kelihatan baru dengan luarannya yang serba putih.

Senibina yang begitu sederhana bercirikan senibina Islam Turki ini sangat selesa dan sering menyaksikan pengantin-pengantin bernikah selain daripada mereka yang datang menimba ilmu. 

Sambil-sambil beriadah di taman bersebelahan masjid ini, singgah sebentar untuk beribadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

 

6. MASJID UBUDIAH, KUALA KANGSAR, PERAK

Siapa orang Kuale, boleh singgah ke Masjid Ubudiah yang juga dikenali sebagai Masjid Diraja yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Dari jauh lagi, kubah emas dan 4 buah menara masjid ini dapat dilihat!

Masjid Ubudiah ini dirasmikan pada tahun 1917 dan telah dibina oleh Sultan Idris sebagai masjid nazar setelah baik dari sakitnya.

Kalau nasib anda baik, mungkin dapat bertemu dengan kerabat diraja atau Sultan Perak, Sultan Nazrin kalau anda solat di sini..hehehe

 

7. MASJID ZAHIR, ALOR SETAR, KEDAH

Cantik betul masjid Diraja yang terletak di perkarangan Istana Pelamin ini.

Siap dibina pada tahun 1912, Masjid Zahir amat popular di kalangan orang Kedah.

Kubah hitamnya – satu kubah utama dan 5 kubah kecil – melambangkan lima rukun Islam.

Senibina yang diambil dari sumber inspirasi Arab dan Turki sememangnya tak lapuk dek zaman dan masih mempersonakan walaupun bertahun lama.

 

8. MASJID TERAPUNG TANJUNG BUNGAH, PULAU PINANG

Masjid ini ialah masjid yang pertama dibina di atas permukaan laut dengan konsep ‘terapung’.

Masjid dua tingkat ini siap dibina pada tahun 2007.

Terletak di tepi pantai Tanjung Bungah, kariah masjid ini aktif dengan pelbagai aktiviti ilmiah yang dijalankan untuk warga sekitarnya.

Dengan menara azan setinggi 7 tingkat ini, sememangnya anda tidak akan terlepas pandang masjid yang menawan yang juga berdekatan dengan ‘hotspot’ makanan seafood.

Selepas berbuka dengan makanan laut yang popular di kawasan ini, boleh lah sambung beribadah di masjid sebelah.

 

9. MASJID BANDARAYA, KOTA KINABALU, SABAH

Bagi orang-orang KK, Masjid Bandaraya sememangnya menjadi kebanggan mereka.

Dibuka pada tahun 2000, masjid terapung yang elegan ini diilhamkan daripada Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah.

Kubahnya yang berwarna biru dan emas dapat dilihat dari jarak yang jauh. 

Dikelilingi oleh 70% air yang tenang, beribadah di masjid ini merupakan suatu pengalaman yang unik dan indah.

Dengan ruang sembahyang yang luas dan selesa, masjid ini mampu menampung seramai 1,500 pengunjung dalam satu-satu masa.

 

10. MASJID INDIA / MASJID TERAPUNG KUCHING, SARAWAK

Masjid India atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuching yang siap awal tahun ini menjadi mercu tanda baru di Kuching.

Masjid bernilai RM21 juta itu mampu menampung 1,600 jemaah dan menjadi yang pertama seumpamanya dibina di Sarawak.

Masjid India menyimpan sejarahnya tersendiri iaitu daripada sebuah pondok yang dibina India Muslim untuk beribadah ketika datang berniaga di sini dan kini tersergam indah di tebing Sungai Sarawak

Menariknya, kawasan Masjid India ini juga dilengkapi sinaran lampu LED yang mewujudkan suasana mempersona pada waktu malam.

 

11. MASJID AL-HUSSAIN, KUALA PERLIS, PERLIS

Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis ini tersergam indah dengan penampilan seni bina Islam berciri moden resort tropika.

Mula dibina pada 2006 dan beroperasi pada 8 Oktober 2011, masjid ini mampu memuatkan hingga 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.

Nama masjid ini diambil sempena nama cucu Rasulullah SAW yang bermaksud baik, bagus, mempunyai tarikan dan keunikannya tersendiri.

Terletak di pinggir pantai Kuala Perlis, pengunjung dari daerah itu yang hendak ke Pulau Langkawi pasti terpukau dengan keindahan pemandangan masjid berlatarkan lautan biru luas terbentang.

Jom sama-sama kita mengimarahkan masjid pada penghujung bulan Ramadan yang mulia ini.

Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah SWT dan kita semua diberi kesempatan lagi untuk menikmati bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun depan. Insya-Allah!

 

 

Destination: