Jom Ke Selangor Fruit Valley, Ada Tawaran Tiket Percuma Mulai 15 Sept!

TRAVEL
September 14, 2021 - 05:03 PM


Beli 3 pas masuk, dapat 1 tiket PERCUMA!

Itu tawaran menarik yang diberikan khas oleh Selangor Fruit Valley (SFV) kepada para pengunjung bersempena dengan pembukaan semula secara rasminya pada Rabu ini (15 Sept).

Pengurus Pemasaran SFV, Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak serta warga emas, manakala bagi warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Melalui pembelian pas masuk itu pengunjung berpeluang menaiki trem mengelilingi kawasan seluas hampir 1,000 hektar -- yang bukan sahaja kawasan tanaman buah-buahan malah terdapat juga taman rusa dan arnab.

Selain itu, mereka juga boleh mengunjungi rumah kampung yang kawasan sekitarnya terdapat reban ayam dan ini adalah peluang terbaik untuk anak-anak merasai suasana seakan di desa tercinta.

Lebih menarik, SFV juga akan memberikan potongan buah keluaran ladang itu secara percuma kepada pengunjung -- selain turut menawarkan harga menarik serta kupon pembelian buah-buahan dan sayur-sayuran.

Namun harus diingatkan bahawa hanya individu yang lengkap dua dos vaksin serta anak-anak mereka sahaja dibenarkan mengunjungi SFV.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 016-6880792 serta emel ke [email protected] atau [email protected].

SFV yang mempunyai keluasan hampir 1,000 hektar itu menjadi antara tarikan pelancongan di Selangor dengan mempunyai 20 jenis buah-buahan -- antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Malah, terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu -- menjadikan SFV sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia!

Sumber: Selangor Kini

Destination: