Jom Raikan Hari Malaysia Di Festival 'Made-in-Malaysia'!

JALAN-JALAN
September 12, 2019 - 03:13 PM


Bersempena meraikan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September ini, satu festival 'Made-in-Malaysia' bakal diadakan selama 2 hari iaitu pada 14 & 15 September bertempat di REXKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Festival yang dianjurkan oleh AirAsia Foundation dengan kerjasama REXKL itu bakal mengetengahkan pelbagai tarikan kebudayaan Malaysia dengan lebih 20 aktiviti menarik diadakan seperti bengkel Tarian Singa kanak-kanak, kelas seni mempertahankan diri, kelas kaligrafi dan kelas masakan juadah tempatan.

Selain itu, terdapat juga aktiviti bersama Duta Makanan Pelancongan Malaysia, Datuk (Dr) Chef Wan serta pengarah filem Tan Yew Leong, ahli muzik dan komposer Pete Teo serta pengarah filem dokumentari, Indrani Kopal.

Bukan sekadar acara hujung minggu, festival percuma yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia serta mempamerkan kepada para pelancong luar tentang keunikan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

“Festival ini diadakan bagi meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan perpaduan sesama kita. Dengan mempromosikan budaya yang berbeza dan memupuk semangat kemasyarakatan, kami berharap untuk mewujudkan suasana di mana semua rakyat Malaysia berganding bahu untuk maju ke hadapan dan berjaya", kata Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching.

Sementara itu, REXKL dipilih menjadi lokasi festival Made-in-Malaysia memandangkan ia sebuah bangunan ikonik yang dikenali sebagai Pawagam Rex, yang kini telah diubah menjadi sebuah hab kreatif dan keusahawanan pelbagai budaya.

Ia juga merupakan hab AirAsia Foundation Destination: GOOD, sebuah butik yang mengetengahkan lebih 400 jenis barangan yang dihasilkan secara beretika daripada lebih 30 buah perusahaan sosial di rantau Asean.

Bukan sekadar sebuah butik, Destination: GOOD bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja dan melancong secara mampan, selain menjadi sebuah hab bagi memupuk kerjasama antara usahawan sosial Asean dan perusahaan berasaskan komuniti. 

P/S: Jadi, jom ramai-ramai kita meriahkan Festival Made-in-Malaysia ini bagi semarakkan lagi sambutan Hari Malaysia yang ke-56!

Sumber: Newsroom AirAsia

;