Lari Dari Hiruk Pikuk Kota Di XScape Tambun, Hidden Gem Istimewa Ipoh

JALAN-JALAN
May 23, 2021 - 03:04 AM


Bandar Ipoh, Perak sememangnya menjadi pilihan pelancong yang ingin menikmati percutian singkat kerana destinasinya yang dekat dengan ibu negara Kuala Lumpur.

Pelbagai destinasi menarik yang boleh diterokai di Ipoh dan bandar raya unik ini menjadi pilihan pengunjung dalam dan luar negeri untuk aktiviti libur hujung minggu.

Jika anda mahukan sesuatu yang istimewa di Ipoh, pastikan anda memilih XScape Tambun sebagai destinasi pelancongan anda.

Terletak lebih kurang 10 kilometer dari pusat bandar, XScape Tambun merupakan destinasi pelancongan yang boleh dikatakan baru dan masih belum diketahui oleh orang ramai.

Mula dibuka pada penghujung tahun 2019, destinasi ini sedikit tersorok di celahan bukit batu kapur yang tersergam indah.

Dengan keindahan panorama menghijau serta kerikil batu kapur yang membangkitkan kenyamanan, XScape Tambun sangat sesuai untuk pelancong yang mahukan ketenangan dan lari dari hiruk pikuk kota.

Melangkah sahaja ke sana, anda pastinya terpukau dengan fasiliti dan penginapan yang disediakan.

Jangan risau kerana XScape Tambun bersesuaian untuk semua golongan, tak kiralah mereka yang bercuti bersama keluarga, rakan-rakan atau pasangan yang sedang berbulan madu!

Beberapa jenis bilik tersedia di sini, tetapi apa yang menariknya ialah penginapan yang berlatar belakangkan ‘mountain view’.

Bayangkan jika anda bangun pagi di bilik yang mempunyai pemandangan gunung ganang yang indah, perasaan itu semestinya membuatkan anda ‘speechless’ dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit… Berharga beb!

Jangan risau, mereka juga menyediakan kerusi urut serta kemudahan internet bersama Netflix untuk pengunjung yang mahu bersantai dan berehat di dalam bilik.

Antara aktiviti yang tersedia di XScape Tambun ini adalah flying fox, cave adventure, berbasikal, BBQ, kemudahan kolam renang kecil bersama jacuzzi serta taman permainan!

Semua aktiviti yang disenaraikan adalah percuma kecuali flying fox dan cave adventure yang berharga RM50.

Untuk BBQ pula, anda perlu membawa makanan untuk dibakar sahaja kerana XScape Tambun menyediakan kelengkapan serta tempat membakar serta pinggan mangkuk untuk anda!

Aktiviti cave adventure sangat disarankan oleh pengunjung di XScape Tambun untuk anda merasai sendiri pengalaman unik dan berbeza!

Ia akan membawa anda menyelusuri gua batu kapur dan menariknya, anda dapat melihat sendiri peninggalan aktiviti melombong zaman dahulu selain kehijauan panorama yang masih belum diterokai sepenuhnya!

Perlu diingatkan, dua aktiviti ini boleh disertai oleh orang dewasa dan kanak-kanak yang berusia enam tahun ke atas sahaja! Sekirannya anda mengambil pakej cave advanture, anda akan dapat sekali unlimited flying fox.

Jangan lupa untuk berkunjung ke XScape Tambun selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat dan bercuti dengan selamat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) di sini!

  • Xscape Tambun, Lot 146134, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak.
  • https://fb.com/xscapetambun/
  • 012-5226355
  • Facebook & Instagram

 

Sumber: We Go Travel

Destination: 
Artikel berkaitan