MAS Tawar Tiket Penerbangan Serendah RM89 Ke Langkawi Mulai 16 Sept Ini

TRAVEL
September 03, 2021 - 06:24 PM


Susulan pengumuman Kerajaan yang membenarkan pembukaan semula Pulau Langkawi kepada pelancong domestik bermula 16 September depan yang juga jatuh pada tarikh Hari Malaysia.

Hari ini, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) sudah bersedia menawarkan penerbangan kepada penumpang lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata MAS ketika ini beroperasi 4 kali sehari ke Langkawi dan akan menyesuaikan kapasitinya untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

"Ini memang titik permulaan untuk mengaktifkan semula pelancongan domestik, membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bersempena dengan Hari Malaysia juga, MAS menawarkan tiket penerbangan pada harga serendah RM89 semua dalam satu -- manakala cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, MHholidays menawarkan pakej perjalanan (tiket penerbangan dan penginapan hotel) dengan diskaun sehingga 50 peratus.

MAG baru-baru mencapai kadar vaksinasi 100 peratus untuk semua juruterbang dan kru kabinnya, ia memberi jaminan dan ketenangan kepada para penumpangnya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia Airlines telah meningkatkan protokol keselamatan dan kesihatannya di kawasan lapangan terbang dan di dalam pesawat seperti yang disarankan oleh Majlis Pasukan Petugas Pemulihan Penerbangan (CART) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja dilindungi.

Antara langkah-langkah diambil ialah pemakaian pelitup muka, melakukan kerja-kerja nyahkuman secara kerap dan penggantian awal penapis Udara Partikulat Berkecekapan Tinggi (HEPA) pesawat untuk memastikan sistem pengudaraan yang berkesan yang mampu menapis sebanyak 99.97 peratus mikroorganisma di dalam pesawat.

Maklumat mengenai promosi Malaysia Airlines itu boleh diperoleh di pautan ini -  https://www.malaysiaairlines.com/my/en.html.

Sumber: Bernama

Destination: