Melancong Ke Langkawi Guna Penerbangan, Tak Perlu Surat Polis

TRAVEL
September 13, 2021 - 05:41 PM


Ini ada satu berita baik buat korang yang ingin melancong ke Langkawi menggunakan penerbangan dari mana-mana lapangan terbang di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan menerusi Twitter rasmi beliau bahawa mana-mana individu yang menggunakan pesawat untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 September ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.

Namun bagi mereka yang ingin ke pulau lagenda itu dengan menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri terbabit sahaja yang perlu berbuat demikian.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pula memaklumkan bermula 16 September 2021 -- Langkawi boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara, termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.

Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

Sementara itu jelasnya, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Selain itu ujarnya, perlindungan insurans serta saringan COVID-19 juga adalah tidak diwajibkan.

Berikut adalah SOP yang perlu dipatuhi untuk projek perintis Pulau Langkawi:-

i. Terhad kepada individu yang telah lengkap 2 dos vaksinasi;

ii. Jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), bermalam, percutian dengan tempahan penginapan/tiket masuk yang telah dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTAC;

iii. Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut;

iv. Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah/Perlis;

v. Pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP;

vi. Aktiviti-Aktiviti Gelembung Pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk:

✓ Penginapan di hotel dan homestay termasuk fasiliti dalam premis hotel dan homestay seperti surau, kolam renang, gymnasium, lounge, dewan, Business Events (MICE), Acara Pelancongan dan Kebudayaan tertakluk kepada SOP Am Fasa 4 dikeluarkan oleh MKN serta SOP Kementerian/ Jabatan/ Agensi yang

berkaitan;

✓ Aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, extreme/ adventure/ nature parks, farms, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial;

✓ Aktiviti Pelancongan Minat Khas (golfing, scuba diving, cycling, angling, yatching dan sebagainya);

✓ Aktiviti Eko Geo-Kembara (bird watching, caving, mountain climbing, white water rafting, hiking, jungle trekking, camping dan sebagainya);

✓ Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat/kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain;

✓ Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga; dan

✓ Lawatan Bersifat Akademik seperti Geopark Discovery Center, Balai Seni, Laman Padi.

Dalam pada itu Nancy turut menggesa orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke Pulau Langkawi supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan agar Gelembung Pelancongan Langkawi kekal hijau dan seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang.

Sumber: Astro Awani 

Artikel Berkaitan: Langkawi 'Buka Pintu' Kepada Pelancong Domestik Mulai 16 Sept Ini

Artikel Lain: Ini 7 Aktiviti Pelancongan Utama Di Langkawi Dapat 'Lampu Hijau' MOTAC

Destination: