Nak Rasa Petik Sendiri Sayur & Buah-Buahan Segar Bila Bercuti Ke Langkawi? Jom Singgah 'Lang Agro Park'!

JALAN-JALAN
March 01, 2021 - 12:46 PM


Jika nanti kita dah dibenarkan untuk merentas negeri dan melancong kembali, mesti ramai yang bakal memilih pulau peranginan terkenal di utara tanah air iaitu Pulau Langkawi untuk bercuti, kan?

Kalau anda sememangnya mempunyai rancangan untuk bercuti ke sana, jangan lupa singgah ke sebuah ladang berkonsepkan agropelancongan iaitu LANG AGRO PARK -- di mana korang berpeluang memetik sayur dan buah-buahan segar yang ada di situ seakan berada di kebun sendiri. 

Macam seronok je bunyi, kan....

Lang Agro Park yang berkeluasan 2.4 hektar itu telah mula beroperasi sejak Januari 2020 dan terletak di Ulu Melaka, Langkawi.

Menurut Pengarah Urusan Lang Agro Sdn Bhd, Naira Azlin Mat Nasim sejak dibuka setahun lepas, ladang tersebut semakin mendapat sambutan daripada penduduk di sekitar Pulau Langkawi untuk sayuran serta buah-buahan segar.

"Ladang integrasi ini dibahagikan mengikut plot seperti sayuran berbuah, sayuran berdaun, buah-buahan dan kolam ikan tilapia. Ada kira-kira 50 jenis sayuran dan buah-buahan di ladang ini antaranya terung, sawi kerinting, timun, jagung mutiara, kangkung, golden melon, markisa dan buah tin.

"Lang Agro Park yang pertama mempopularkan konsep datang dan petik sendiri sayuran dan buah-buahan di Langkawi. Kita dapati pelawat yang datang bersama ahli keluarga seronok dapat petik sendiri hasil di ladang ini, satu pengalaman yang mengujakan buat mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Naira Azlin berkata sayuran dan buah-buahan di ladang tersebut boleh dituai mengikut jangka masa tertentu dan apabila hampir waktu untuk dituai, hebahan menerusi laman sosial Facebook akan dilakukan.

"Kangkung mengambil masa kira-kira dua minggu untuk dituai, selain itu bayam (dua minggu), sawi kerinting (empat minggu) dan terung (dua bulan). Apabila tiba waktu yang sesuai kita akan hebahkan kepada orang ramai.

"Sejak dibuka kepada orang ramai, sambutan diterima sangat menggalakkan, malahan kadangkala permintaan sangat tinggi," kata lepasan Program Inkubator Usahawan Belia Tani Jabatan Pertanian Malaysia itu.

Naira Azlin berkata selain jualan terus kepada pelanggan, pihaknya turut membekalkan sayuran dari ladang tersebut kepada pasar raya dan kedai runcit sekitar Langkawi.

"Bekalan sayuran di Langkawi kebanyakannya dibawa dari tanah besar dan sejak ladang ini dibuka kita sudah dapat tampung kira-kira 40 peratus permintaan pasaran di pulau ini," katanya.

P/S: Makin bertambah seronoklah percutian korang ke Langkawi lepas ni, selain dapat mandi-manda di pulau dan naik kereta kabel -- korang pun dapat petik sayur dan buah sendiri untuk dibawa balik sebagai souvenir buat keluarga.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: FB Lang Agro Park

Destination: 
Artikel berkaitan