Nak Travel Sendirian Tapi Takut? Jom Ikut Tips Kembara Secara Solo Atau Backpacker

TRAVEL
April 20, 2018 - 01:59 PM


Aku tahu tak ramai yang berani nak kembara secara solo mahupun backpacker kan? lagi-lagi bagi perempuan. Maklumlah kot-kot terjadi something ker apa ker terus jadi pengembaraan tu tak seronok.

Minggu ini kami di rileklah kongsikan beberapa tips untuk mereka yang nak travel secara solo atau backpacker! Semoga bermanfaat.

Tips Kembara Secara Solo atau Backpacker

Ada yang gemar melakukan pengembaraan solo dengan alasan mahu berdikari dan menimba pengalaman di tempat orang. Walaupun anda bebas mengembara ke mana saja yang anda mahu tetapi kami percaya anda mempunyai banyak persoalan lebih-lebih lagi apabila anda mengembara secara solo. Mungkin persoalan anda bakal terjawab jika anda terus membaca entri untuk hari ini.

“Saya merancang untuk mengembara seorang diri. Adakah terdapat destinasi yang khusus untuk pengembara solo seperti saya?”

Bertenang! Anda tidak keseorangan. Bahkan pengembara solo semakin hari semakin ramai ekoran banyak kemudahan disediakan. Tidak ada destinasi yang mengharamkan pengembaraan solo kerana ia lebih mudah dan lebih seronok. Apa yang anda perlukan apabila merancang mengembara ke luar negara adalah kemahiran berbahasa Inggeris. Sekalipun anda sesat, anda masih boleh bertanya dan orang sekeliling tidak mempunyai masalah untuk faham percakapan anda.

“Apakah kaedah yang saya boleh guna untuk berhubung saat di tengah kota atau di atas jalan?”

Di sinilah peranan Facebook, Twitter dan media sosial lain membantu anda. Jangan terkejut apabila anda akan bertemu dengan rakan lama yang berkemungkinan turut berada di destinasi anda. Siapa tahu, mereka mungkin mempunyai saudara mara di destinasi yang anda tuju dan ini memudahkan pengembaraan anda. Terdapat satu laman sesawang yang membantu anda berhubung dengan penduduk tempatan seluruh dunia atau berhubung dengan pengembara solo yang lain seperti laman IndependentTraveler.com atau couchsurfing.org.

“Ada cara bagaimana mahu mengurangkan kos apabila mengembara secara solo?”

Meskipun anda mengembara secara solo, biasanya anda dikenakan bayaran penginapan  dua kali ganda seperti menetap di hotel. Hal ini kerana, sesetengah bilik hotel berdasarkan dua penginap dan semestinya kadar ‘double’ dikenakan. Apa yang anda perlu lakukan adalah jangan segan bertanyakan tentang diskaun. Tekankan bahawa anda hanya berseorangan, anda menggunakan elektirk dan air yang sedikit malah hidangan adalah untuk seorang. Dari segi pengangkutan, jalan kaki atau menggunakan keretapi adalah lebih jimat. Elak menaiki teksi atau menyewa kenderaan biarpun anda ada lesen memandu antarabangsa!

“Saya takut untuk keluar makan seorang diri. Tolonglah!”

Pastikan anda memilih lokasi yang menjadi tumpuan dan ramai pengunjung. Duduk di meja seorang diri boleh mengundang masalah apabila anda akan didatangi individu yang tidak dikenali atau mempunyai niat yang tidak baik. Memandangkan anda mengembara secara solo, ada baiknya anda memilih tempat duduk yang berkongsi meja berbanding memilih meja perseorangan. Sekurang-kurangnya, anda mempunyai teman untuk berbual apabila duduk di meja kongsi. Jika anda bukan seorang yang gemar bercakap, pastikan anda membawa majalah atau apa saja untuk dibaca. Selain restoren, anda boleh membawa bekalan ke taman sambil melihat pemandangan.

“Saya risau akan keselamatan. Ada apa-apa yang perlu saya buat?”

Untuk mengurangkan risiko, ikuti empat tips di bawah:

1. Jalan penuh yakin. Jalan tanpa menunjuk rasa takut walaupun hakikatnya anda sedang ketakutan. Penyeluk saku akan menyerang pengembara yang kelihatan keliru untuk dijadikan mangsa.

2.  Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Jika anda lalai untuk beberapa saat, dompet anda boleh hilang dalam sekelip mata. Pastikan anda mengunci zip beg anda, butangkan poket seluar dan simpan barangan di kawasan mudah dilihat.

3. Atur jadual anda. Jika anda merasa kurang selesa untuk keluar mengembara pada waktu malam, elak keluar malam. Selain itu, pastikan anda membawa makanan yang mengenyangkan untuk bekalan perjalanan anda dan elak keluar mengembara sehingga lewat malam.

4. Jauhi dari individu gatal. Jika anda wanita, pastikan anda memakai cincin palsu supaya anda tidak diganggu dan orang sekeliling beranggapan anda sudah berpunya! Begitu juga dengan pengembara lelaki, elak melayan orang yang tidak dikenali kerana ia mungkin satu perangkap.

Jika orang lain boleh mengembara secara solo, mengapa tidak anda? Apa yang penting, persediaan yang cukup rapi dari segi mental, fizikal dan pembacaan yang meluas mengenai pengembaraan solo adalah perlu supaya anda tidak ‘terkontang-kanting’ di sana!

-KeN_The_Traveler!