Nikmati Pemandangan Bandar Melaka Dengan Belon Udara Panas!

TRAVEL
September 11, 2019 - 12:11 PM


Bagi yang berkunjung ke Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di Alor Gajah, Melaka, mereka kini bukan sahaja boleh shopping sakan malah berpeluang untuk menikmati pemandangan indah dari ketinggian 100 kaki dengan menaiki belon udara panas yang disediakan pusat beli-belah berkenaan.

Tarikan terbaharu itu merupakan inisiatif FAO bagi membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019.

Tawaran untuk menaiki belon udara panas ini bermula sejak 16 Ogos lalu hingga 15 November depan.

Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM100 bagi pemegang MyKad dan RM150 untuk pelancong asing.

Ia boleh memuatkan seramai tiga orang dengan berat maksimum 200 kilogram dan berada pada paras ketinggian kira-kira 100 kaki selama 10 minit bagi setiap sesi.

Belon udara panas itu dikendalikan sepenuhnya oleh pengemudi profesional dari Jordan yang fasih berbahasa Malaysia iaitu Encik Omar Zaid.

Perkhidmatan belon udara panas itu dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dan dari 6.30 petang hingga 9.30 malam.

Aktiviti belon udara panas itu dijangka berpotensi membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik dan luar negara ke Melaka, sekali gus meningkatkan pendapatan sektor pelancongan negeri.

Bagi yang berminat untuk cuba sendiri pengalaman menaiki belon udara panas ini boleh menempah tiket secara online di sini: https://afamosaresorthotel.com/onlineticketing/selection2.aspx.

Sumber: Bernama