Pentingkah Insurans Perjalanan Ketika "Travel" ?

TRAVEL
October 02, 2017 - 02:56 PM


Sepanjang perjalanan aku sebagai seorang traveller sudah tentu antara soalan yang paling popular adalah pentingkah insurans travel. Soalan ni pada mulanya agat susah untuk jawab memandangkan aku sendiri pun ambil mudah tentang insurans travel. Tapi sejak akhir-akhir ni aku banyak terbaca kisah rakyat kita yang menghadapi masalah ketika di tempat orang. Sehingga terpaksa memohon bantuan di laman sosial.

 

Sepatutnya apabila kita faham apa isu insurans perjalanan benda ini tidak akan berlaku. Ok kali ini aku kongsikan info tentang insurans travel yang perlu korang tahu sebelum travel.

 

Apa itu insurans perjalanan?

 

Insurans perjalanan adalah insurans yang dibeli untuk melindungi pembeli ketika melancong daripada kemalangan, kerugian dan gangguan perjalanan. Biasanya, insurans perjalanan terhad kepada waktu dan tempoh perjalanan seseorang.

 

Namun, bagi memudahkan mereka yang sering melancong, sesetengah syarikat insurans menawarkan gabungan beberapa perlindungan yang dapat memenuhi keperluan mereka.

 

Setiap syarikat insurans mempunyai skop perlindungan dan manfaat yang berlainan. Ia adalah hak anda untuk memilih perlindungan yang anda mahukan. Antara perlindungan lazim yang ditawarkan oleh syarikat insurans adalah seperti:

 

  1. Kemalangan diri
  2. Belanja perubatan dan yang berkaitan 
  3. Kehilangan deposit perjalanan atau pemendekan perjalanan 
  4. Kehilangan bagasi, barang-baranda kepunyaan peribadi dan wang
  5. Kehilangan pasport 
  6. Liabiliti diri
  7. Kelewatan bagasi 
  8. Kelewatan perjalanan 
  9. Rampasan kenderaan 
  10. Penghantaran pulang jenazah 

 

Perlu diketahui bahawa jika anda mengambil insurans untuk ahli keluarga, jumlah pampasan yang boleh dibayar adalah berdasarkan bahagian yang ditetapkan bagi setiap ahli keluarga. Jumlah tuntutan keseluruhan tidak boleh melebihi nilai yang diinsuranskan.

 

 

Apakah faedah mengambil polisi insurans perjalanan?

 

Bagi yang kurang faham mengenai perlindungan insurans, ia adalah seperti dibawah.

 

  1. Kemalangan diri : Dilindungi jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh (dalam tempoh 365 selepas tarikh kemalangan berlaku). Pembayaran pampasan adalah berdasakna skala manfaat, berbeza mengikut syarikat insurans.

  2. Belanja perubatan : Perlindungan jika masuk hospital, yuran hospital atau pembedahan, yuran perubatan sakit luar dan juga elaun harian sehingga bilangan hari maksimum (jika masuk hospital lebih 24 jam)

  3. Hilang deposit perjalanan atau memendekkan perjalanan : Pembayaran gantirugi belanja yang ditanggung akibat kerugian belanja perjalanan, atau gantirugi tempat penginapan jika anda berhasrat untuk memendekkan perjalanan.

  4. Hilang barang peribadi atau wang : Perlindungan terhadap barangan yang dinyatakan, akibat kenderaan yang dinaiki (bas, teksi dan sebagainya).

  5. Hilang pasport : Pampasan akan diberi untuk belanja hotel, perjalanan dan lain-lain di negara yang dilawati, sementara menunggu pasport yang hilang siap. Laporkan kehilangan pasport dalam masa 24 jam.

  6. Liabiliti diri : Perlindungan liabiliti di sisi undang-undang untuk anda akan dilakukan, jika berlaku kecederaan tubuh badan pihak ketiga disebabkan anda, atau anda menyebabkan kerosakan dan kerugian harta benda pihak ketiga.

  7. Kelewatan bagasi : Pampasan belanja akan diberikan mengikut belanja yang anda keluarkan untuk membeli pakaian atau barang peribadi yang penting jika bagasi anda hilang untuk tempoh sekurangnya 12 jam tiba di destinasi.

  8. Kelewatan perjalanan : Jika berlaku kelewatan atau penundaan penerbangan lebih dari 12 jam yang diluar kawalan anda, wang pampasan akan diberikan mengikut kadar tertentu.

  9. Rampasan kenderaan : Jika perjalanan anda terganggu lebih daripada 12 jam disebabkan kejadian rampasan kenderaan, syarikat insurans akan membayar secara harian kepada bilangan hari maksimum.

  10. Penghantaran jenazah : Pembayara gantian kepada wakil sah bagi pihak yang diinsuranskan untuk membawa pulang jenazah akan diberikan jika berlaku kematian.

 

 

 

Adakah polisi insurans ini mempunyai pengecualian?

 

Walaupun banyak perkara yang dilindungi oleh syarikat insurans jika anda mengambil polisi tersebut, terdapat beberapa pengecualian terhadap kerugian yang tidak dilindungi. Antaranya adalah :

 

  1. Risiko berlakunya perang
  2. Bunuh diri atau gila
  3. Penyakit AIDS
  4. Pembunuhan atau serangan yang dimulakan
  5. Keguguran atau melahirkan anak
  6. Sukan berisiko tinggi

 

Bagaimana cara terbaik untuk memilih polisi insurans?

 

Sebelum mengambil mana-mana insurans perjalanan anda haruslah:

 

  1. Membandingkan polisi dan mengambil perlindungan yang diperlukan sahaja
  2. Semak mengenai barang-barang peribadi yang tertakluk dalam perlindungan dengan syarikat insurans. Perlindugan berbeza mengikut polisi syarikat.
  3. Pastikan syarikat tersebut mempunyai rangkaian gabungan asing (overseas) yang baik. Ini memastikan anda diberi bantuan sewajarnya apabila diperlukan.
  4. Lebih elok memilih syarikat insurans yang menawarkan khidmat talian kecemasan 24 jam.
  5. Ini paling penting, iaitu mengetahui dan memahami mengenai apa yang dilindungi dan apa yang boleh dituntut, supaya tidak berlaku perselisihan faham jika berlaku perkara tidak diingini.

 

Apakah yang perlu dilakukan jika berlaku perkara tidak diingini?

 

  1. Jika berlaku kecemasan yang menyebabkan kerugian, hubungi talian kecemasan 24 jam dengan segera, jika ada.
  2. Walaupun anda dilindungi insurans, namun anda harus mengambil tindakan untuk menjaga, melindungi dan menyelamatkan barangan anda. Jangan lupa untuk memaklumkan kepada pihak polis, hotel, syarikat pengangkutan dan pihak berkuasa pengankutan, jika berkaitan.
  3. Terus laporkan kepada syarikat insurans serta merta, dan jangan berlengah.

 

Bagaimana cara untuk membuat tuntutan gantirugi?

 

Tuntutan secepat mungkin perlu dilakukan dengan mengemukakan borang tuntutan kepada syarikat berkenaan. Perlu diingatkan anda perlu menyediakan semua dokumen sokongan bersama borang tersebut, seperti polisi yang ditandatangani, laporan perubatan, laporan polis dan dokumen yang berkaitan. Rujuk kepada tempoh pemberitahuan tuntutan seperti yang ditetapkan dalam polisi.