Phuket Buka Semula Pantainya Untuk Pengunjung
TRAVELPhuket, pantai peranginan yang terkenal di kalangan pelancong antarabangsa di Thailand kini dibuka semula kepada pengunjung bermula semalam (Selasa).
Manakala hotel-hotel di pantai Phuket pula dijangka akan mula beroperasi pada bulan Julai depan.
Mengumumkan pembukaan semula pantai itu, Gabenor Wilayah Pulau SelatanThailand, Supoj Rodruang na Nongkhai meminta semua pengunjung untuk sentiasa mematuhi SOP termasuk menjaga penjarakan sosial serta memastikan kebersihan pantai, tandas dan kawasan sekeliling daripada jangkitan penyakit.
"Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada penduduk Phuket di atas kerjasama mereka dalam memerangi COVID-19 yang merupakan krisis terbesar selepas kejadian tsunami pada 2004 yang melanda destinasi pelancongan ini", katanya.
Beliau juga menasihati semua pengusaha hotel agar membuat pengubahsuaian mengikut norma baharu sebelum mula menerima tetamu pada bulan depan.
Selepas ini, semua penyelamat pantai dan pegawai pemeriksa di Phuket akan memastikan para pengunjung memakai topeng muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman ketika beriadah di pantai tersebut.
Namun, sebarang penganjuran pesta di tepi pantai masih tidak dibenarkan.
Phuket juga telah memberi kebenaran untuk membuka semula pusat membeli-belah, restoran, kedai gunting rambut, gimnasium, kelab kecergasan, panggung wayang, zoo dan rumah urut, dengan prosedur ketat kawalan penyakit.
Sudah lebih 2 minggu, Phuket tidak mencatatkan sebarang kes baharu COVID-19.
Untuk rekod, setakat ini pantai peranginan berkenaan mencatatkan 227 kes keseluruhan dengan 3 kematian.
Sumber: Bangkok Post