Pulau Pangkor, Pulau Redang Dan Pulau Tioman Bakal Dibuka Sebagai Destinasi Pelancongan

TRAVEL
September 20, 2021 - 04:18 PM


Selepas "Travel Bubble" di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Tioman antara destinasi pelancongan yang dijangka akan dibuka kepada orang ramai dalam masa yang terdekat!

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan adalah sebagai usaha merancakkan semula industri pelancongan. Menurutnya, pelancongan menjadi antara industri yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

"Kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan kepayahan penggiat industri pelancongan melalui pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

"Kementerian sendiri turut melaksanakan inisiatif bukan kewangan untuk membantu syarikat pengendali pelancongan seperti Kelonggaran Berkaitan Kompaun, Pengecualian Fi Kepada Pengusaha Pelancongan dan Kelonggaran Syarat Lesen Kepada Pengusaha Pelancongan," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada hari ini.

Nancy berkata, Projek Rintus Gelembung Pelancongan di Pulau Langkawi kini menjadi penanda aras sebelum kerajaan meneliti keputusan untuk membuka sempadan negara bagi menerima kehadiran pelancong luar.

"Kita mulakan dengan Pulau Langkawi kerana pulau itu mempunyai lapangan terbang antarabangsa.

"Kementerian sudah gandakan perbincangan dengan pelbagai agensi dan jika berjaya kita akan buka inter state travel (pelancongan antara negeri) sedikit masa lagi.

"Kalau bergantung dengan pelancongan domestik saja kita tidak mampu tapi dengan pembukaan pelancongan antarabangsa dengan Pulau Langkawi akan menjadi projek rintis terlebih dulu untuk Gelembung Pelancongan dengan lengkap dua dos vaksin dan krtiteria lain," katanya.

Nampak gayanya, semakin banyak destinasi percutian yang kita boleh pergi demi merancakkan kembali sektor  pelancongan khususnya tempatan. Jangan lupa, sentiasa patuh SOP dan teruskan explore keindahan tanah air kita!

Sumber: Harian Metro