Korang Ada Plan Bercuti Ke Pulau Pangkor? Hati-Hati Dengan Obor-Obor Beracun!

TRAVEL
August 18, 2022 - 12:36 PM


Bagi anda yang mempunyai rancangan untuk bercuti ke Pulau Pangkor, Perak -- anda dinasihatkan untuk sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di Pantai Teluk Nipah yang menjadi lokasi tarikan pelancong jika bercuti ke pulau peranginan berkenaan.

Ini kerana susulan kes seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis yang meninggal dunia selepas terkena sengatan obor-obor ketika mandi di Pantai Teluk Nipah, pada Isnin (15 Ogos) lepas.

Jika anda menemui obor-obor di pantai berkenaan atau sekitarnya, anda diminta untuk memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Perak.

Caranya adalah dengan anda mengambil gambar serta memberikan maklumat itu kepada Jabatan Perikanan Perak supaya dapat mengenal pasti spesies obor-obor terbabit.

Bagaimanapun mengikut pihak berwajib, setakat ini, pemantauan di lokasi kejadian, tidak menemui penampakan obor-obor beracun dan berbahaya seperti dilaporkan media, membabitkan kematian seorang kanak-kanak warga Perancis berusia lima tahun.

Buat masa ini, Jabatan Perikanan tidak dapat mengenal pasti spesies obor-obor yang ada di pantai terbabit kerana ketika tinjauan diadakan, hari ini (semalam) tiada penampakan hidupan itu.

Namun Jabatan Perikanan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda mengenai kehadiran obor-obor yang berbahaya.

Selain itu, pengunjung juga diminta untuk lebih berhati-hati ketika mandi dan tidak menyentuh sebarang jenis obor-obor di laut.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Perikanan telah menjalankan kajian pada 2009, 2012 dan 2015 di perairan Malaysia termasuk perairan Teluk Lekir dan Pulau Pangkor membabitkan hidupan marin itu.

Dapatan kajian mencadangkan 3 spesies obor-obor beracun yang dilaporkan berada di perairan Malaysia iaitu Box Jelly (Chironex fleckeri), Lion's mane jellyfish (Cyanea capillata) dan Portuguese Man of War (Physalia physalis).

Ada mangsa yang pernah mendakwa jika terkena sengatan obor-obor itu sakitnya lebih teruk daripada disengat 12 tebuan.


Jika seseorang terkena atau tersentuh dengan bahagian tentacle (sesungut) obor-obor itu, ia boleh memudaratkan dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Semalam media melaporkan, mangsa berusia lima tahun itu dipercayai disengat obor-obor di perut, tangan kiri dan kaki kiri.

Destination: