Pulau Pinang Diiktiraf Salah Satu Daripada 22 Destinasi Terbaik Dunia Untuk Dikunjungi Pada 2022
TRAVELPulau Pinang sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan sebagai salah satu daripada 22 destinasi terbaik untuk dikunjungi pada 2022 menerusi artikel yang diterbitkan oleh CNN Travel.
Menerusi artikel itu, Pulau Pinang disenaraikan bersama destinasi pelancongan popular lain seperti Chile, Colombo, Dijon di Perancis, Greenland, Taman Negara Gabon, Jordan, Lahti di Finland dan lain-lain sebagai antara destinasi terbaik untuk dilawati tahun ini.
Artikel CNN Travel itu menyatakan bahawa Pulau Pinang yang terletak berhampiran Laut Andaman itu menawarkan gabungan masakan tradisional Melayu, Cina dan India.
“Di Pulau Pinang juga terdapat Baba Nyonya (Peranakan) yang mana masakan mereka menggabungkan ramuan serantau dan kaedah masakan masyarakat Cina dan Melayu.
“Semuanya boleh didapati di pusat penjaja dan rumah kedai di seluruh negeri, malah di Georgetown ia dipenuhi dengan bangunan bersejarah seperti rumah agam Inggeris sehinggalah ke rumah kedai kaum Cina yang klasik dan masjid untuk masyarakat Islam,” kata artikel itu.
Baru-baru ini, Pulau Pinang dinamakan sebagai salah satu daripada 15 pulau terbaik di dunia untuk bersara oleh International Living, sebuah laman web yang merangkumi peluang persaraan untuk peringkat antarabangsa
Sumber Gambar: Traveltriangle, Thecrazytourist, Letsgoholiday.my