Pusat Sehenti Untuk Pelancong Membeli-Belah Produk Sabah & Sarawak Di Ibu Negara!

TRAVEL
June 28, 2019 - 03:58 PM


Wow…ini berita baik untuk korang yang menggemari produk serta makanan dari Sabah dan Sarawak tanpa perlu terbang jauh-jauh ke sana!

Ini kerana sebuah pusat perniagaan dan pengkomersialan produk Sabah dan Sarawak yang dinamakan “Borneo Street” bakal diwujudkan di Kuala Lumpur.

Ia akan menghimpunkan peniaga anak negeri Sabah dan Sarawak, untuk mengkomersialkan produk yang melambangkan keunikan kepelbagaian etnik di kedua-dua negeri berkenaan.

Antara hidangan unik yang bakal diperkenalkan di Borneo Street adalah Nasi Linopot iaitu makanan tradisi suku kaum Kadazan dan Dusun yang menggunakan beras huma, sejenis beras kampung padi berwarna merah yang popular di Sabah.

Malah sajian istimewa Sabah seperti ambuyat, imai atau inaba yang sukar diperoleh kerana hanya dihasilkan 5 bulan sekali namun boleh didapati di pusat sehenti berkenaan untuk dicuba oleh pelancong tempatan dan asing.

Malah, katanya produk makanan laut mentah yang memang terkenal di Sabah juga akan dijual di sini. Wah, menarik ni!

Bagi yang meminati koleksi fabrik atau kraftangan unik Sarawak daripada motif pua kumbu, korang juga boleh membelinya di Borneo Street.

Ketika ini, cadangan mewujudkan Borneo Street ini masih dalam pertimbangan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Semoga idea yang baik ini bakal direalisasikan, demi memudahkan pelancong dalam dan luar negara membeli-belah produk keluaran Sabah dan Sarawak untuk dibawa balik sebagai cenderahati dan kenang-kenangan.

Sumber: Berita Harian