Simbol Dan Tanda Yang Perlu Anda Tahu Jika Ke Bali, Indonesia

August 29, 2019 - 05:00 PM


Keunikan serta kecantikan Bali adalah perkara yang tidak asing lagi untuk kita. Kepelbagaian tarikan daripada pantai, gunung, teres padi sehinggalah kebudayaan unik menjadikan Bali sebagai salah satu destinasi pilihan oleh ramai pelancong.

Kaya dengan tradisi dan kebudayaan, Bali juga mendapat jolokan ‘Pulau Tuhan’ atau Island of The Gods.

Pengalaman backpacking ke Bali sekitar tahun lalu membuatkan aku kagum. Mana tidaknya, aku membayangkan Bali ini saling tak tumpah macam tempat tumpuan pelancong lain, tetapi sangkaan aku meleset. Dari segi kebersihan, sangat tip top! Susah nak jumpa sampah, waima puntung rokok sekalipun jarang dijumpai.

Kalau korang nak tahu, setiap pagi – cubalah berjalan sekitar kawasan perumahan yang ada di Bali. Misal contoh, tempoh hari aku tinggal di Jalan Peliatan, Ubud. Setiap pagi, boleh dikatakan setiap rumah akan menyapu laman dan kaki lima rumah serta kedai masing – masing.

Dan, kalau korang amati betul – betul, di depan setiap rumah pasti ada ‘persembahan’ yang pada masa itu aku jangkakan memang berkaitan dengan kepercayaan diorang di sana. Ia merupakan persembahan dalam bentuk bunga yang akan diletakkan dalam bekas khas yang diperbuat dari pelepah pokok kelapa.

Ini adalah salah satu daripada simbol yang korang kena tahu sebelum atau kalau korang ada rencana nak ke Bali. Sebabnya, setiap pagi, akan ada Canang Sari ini di depan rumah. Persoalan yang timbul waktu aku disana dulu, tak ape ke kalau langkah, kalau terpijak macam mana? Jadi aku amik pendekatan, menghormati dan elak dari terlangkah canang sari ni.

Selain itu, ada beberapa lagi simbol yang korang kena tahu; dan semuanya berkaitan dengan agama, budaya dan kepercayaan masyarakat disana.

#1. Canang Sari

Macam yang diceritakan awal tadi, canang sari ini adalah persembahan atau tawaran kaum Hindu Bali, kepada dewa mereka sebagai simbol atau sembahyang. Biasanya ia akan diletakkan di atas lantai dan ia boleh dilihat dimana-mana kaki lima, depan pintu utama rumah, pura dan lain-lain.

Canang Sari terbahagi kepada beberapa bahagian, alas atau ceper yang diperbuat dari daun pokok kelapa sawit, dan Raka – raka yang merupakan beberapa jenis bunga yang menghadap empat penjuru dan mempunyai simbol masing – masing.

Menurut kepercayaan masyarakat setempat, kalau terpijak boleh mendatangkan bad luck tau. Tapi, pada aku, seeloknya janganlah sengaja pijak atau terpijak ye, kita berada di tempat orang, belajarlah menghormati.

 

#2. Kain Poleng

Selain Canang Sari tadi, simbol atau tanda yang korang selalu akan nampak adalah Kain Poleng ataupun kain kotak – kotak (macam kain pelikat) berwarna hitam dan putih. Orang tempatan panggil ni Kain Poleng dan selalunya korang akan jumpa ia dibuat balut patung, pura (kuil) atau batang pokok.

Jangan korang gatal tangan cabut bawak balik pulak!

Sebenarnya kain hitam putih tu tidaklah ada kuasa mistik ke, apa ke, cuma ia simbol Rwa Bhineda yang merujuk kepada keseimbangan alam sekitar. Macam konsep yin dan yang jugak lah. Masyarakat Bali percaya, semua yang wujud dan ada di bumi ini ada dua kuasa atau aura yang berlainan dan kedua – duanya patut dihormati dan dihargai, sama macam malam dan siang, duka dan gembira.

Warna hitam melambangkan kegelapan, warna putih melambangkan kecerahan lah. Dalam erti kata lain, kain poleng ini mengingatkan masyarakat disana supaya hidup dalam keadaan harmoni baik kepada diri sendiri ataupun orang lain.

 

#3. Bija

Satu fakta mengenai Bali yang korang perlu tahu adalah majoriti orang disini beragama Hindu dan disebabkan ini juga masyarakat disini lebih ramai dan lebih banyak kita lihat mempraktikkan kebudayaan dan kehidupan sebgai seorang Hindu. Cuma Hindu di Bali tidak sama dengan di Malaysia.

Disebabkan ini juga, terdapat banyaknya kuil yang dipanggi Pura. Pura merupakan panggilan khusus untuk tempat beribadat manakala Puri adalah tempat tinggal raja dan bangsawan. Jangan terkeliru ye.

Berbalik kepada Bija ni, ia merupakan butiran beras yang telah dicampurkan dengan air suci dan kadangkala dicampur dengan kunyit. Ia akan diletakkan di tiga tempat biasanya. Di dahi, antara kedua kening. Ini dipercayai untuk memberikan kibijaksanaan. Di leher untuk melambangkan kegembiraan dan sekiranya ditelan ia akan memberikan kekayaan kepada mereka.

 

#4. Penjor

Jika ada upacaya keraian atau upacara besar di Bali, akan kelihatan batang – batang buluh yang berhias akan diletakkan ditepi – tepi jalan. Batang buluh ini biasanya dinaikkan dan dihias dengan pelepah kelapa yang muda selain beberapa barangan / tanaman tempatan macam padi, buah dan kelapa.

Penjor ni biasanya akan dinaikkan pada hari ke-10 dalam perayaan Galungan dan Kuningan. Upacara ini untuk meraikan kejayaan Dharma menumpaskan Adharma ( baik menang melawan jahat). Selain upacara ni, biasanya Penjor akan dinaikkan kalau ada majlis perkahwinan, persembahan kebudayaan dan upacara di pura.

Kebiasaannya, selesai upacara, batang buluh ini akan dicabut dan dibakar sebelum debunya ditanam di dalam kawasan untuk memberikan kesuburan pada tanah.

 

#5. Swastika

Walaupun lambang swastika ni terkain dengan pergerakan Nazi, namun ia sebenarnya simbol berkaitan agama yang tertua di dunia, dikhabarkan 10,000 tahun BCE dan ia melambangkan nasib yang baik.

Nama ‘Swastika’ ni datang dari perkataan Sanskrit ‘svastika’ yang bermaksud ‘objek bertuah’.

Masyarakat Bali percaya pengunaan simbol swastika ini boleh menaikkan dan meningkatkan kepercayaan mereka kepada tuhan dan biasanya simbol swastika ini akan dicat atau dilukis pada bakul, dulang ataupun perkakas yang digunakan dalam upacara keagamaan. Kadangkala ia dilukis dan dicat pada bangunan dan pura.

 

Selamat Atau Mudah Tak Menjadi Pelancong Muslim Di Bali?

Jawapannya selamat, dan mudah! Kepada siapa yang cakap di Bali susah nak juma makanan halal tu, diorang sendiri mesti tak pernah sampai ke Bali.

Walaupun majoriti di sini bukan beragama Islam, kedai makanan halal agak banyak. Kalau nak senang, korang download aplikasi Zomato. Senang nak cari dan filter. Masjid pun senang cari, goole je.

Jangan risau kalau takut 'tersalah' masuk sebab kebanyakan kedai papantanda dia jelas atau dia akan pamerkan makanan macam contoh bawah ni...

Dah nampak, jangan lah masuk. Korang dah kenapa? Hahaha~ 

BACA JUGA  :

Destination: