Strawberry_Tokki Ibarat 'Cameron Highlands' Terengganu!

TRAVEL
November 12, 2020 - 09:05 PM


Jika bercuti ke Cameron Highlands, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang untuk singgah ke ladang strawberi yang ada di sana bagi melihat sendiri buahnya serta merasai pengalaman memetik dan menikmati keenakan strawberi segar.

Bagi mereka yang berada di negeri Pantai Timur terutamanya di Terengganu, anda sudah tidak perlu jauh-jauh untuk travel hingga ke Cameron kerana di Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang terdapat sebuah kebun mini ‘Strawberry_Tokki’ milik seorang guru agama yang mula dibuka untuk kunjungan orang ramai sejak kira-kira 5 bulan lepas.

‘Strawberry_Tokki’ yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu itu mula diusahakan pemiliknya, Ustaz Ramli sejak 2 tahun lepas sebagai hobi dengan hanya menanam sekitar 50 pokok strawberi.

Namun kini kebun berkenaan telah memiliki lebih 3,000 pokok strawberi dan semakin ramai pengunjung terutama dari luar Terengganu yang datang melawat.

Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke  ‘Strawberry_Tokki’.

Malah, sekiranya ada buah strawberi pengunjung juga boleh merasainya secara percuma.

Di kebun, para pengunjung juga boleh membeli anak pokok strawberi yang dijual antara RM15 hingga RM20.

Sesiapa sahaja yang singgah di halaman rumah Ustaz Ramli ini yang diubahsuai menjadi kebun strawberi pasti berasa seolah-olah sedang berada di Cameron Highlands.

Manakan tidak, kebun di sini dipenuhi dengan kehijauan daun dan kemerahan buah strawberi yang membuatkan sejuk mata memandang.

Menariknya, Ustaz Ramli yang sememangnya gemar bercucuk tanam sejak muda itu mengusahakan kebun mini strawberinya ini hanya dengan menimba ilmu mengenai penjagaan pokok strawberi daripada rakan dan menonton video-video di saluran YouTube.

P/S: Untuk makluman, memandangkan sekarang ini musim PKPB -- Strawberry_Tokki tidak menerima pelawat buat dan ditutup sementara.

STRAWBERRY_TOKKI

ALAMAT: Kg Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang, Terengganu.

NO TEL: 013-975 6245

FACEBOOK: Strawberry_Tokki

Sumber: BERNAMA

Destination: