'Tangga Putrajaya Steps' - Tarikan Pelancongan Terbaharu Di Putrajaya

JALAN-JALAN
September 30, 2021 - 06:23 PM


Putrajaya sememangnya merupakan destinasi pelancongan popular yang menjadi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara.

Selain keunikan reka bentuk bangunannya, keindahan landskapnya turut menjadi tarikan utama.

Dibangunkan dengan berkonsepkan bandar dalam taman, ia mempunyai 13 buah taman awam utama yang unik sekali gus berjaya menarik ramai pengunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia.

TANGGA PUTRAJAYA STEPS

Terkini, Putrajaya bakal mempunyai tarikan baharu iaitu "Tangga Putrajaya Steps" yang akan memberi nilai tambah sebagai destinasi pelancongan khususnya dalam aspek eko-pelancongan.

Diilhamkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa -- pembinaan Tangga Putrajaya Steps adalah bersempena dengan 25 tahun Sambutan Jubli Perak Putrajaya.

Dibina di atas cerun menuju ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana -- Tangga Putrajaya Steps mewujudkan kesinambungan laluan pejalan kaki dari Dataran Putra melalui Laman Perdana naik ke mercu tanda di Taman Putra Perdana seterusnya ke Hotel Pulse Grande.

Ia dapat dilihat sebagai satu paksi lurus (axis) yang menghubungkan kawasan tumpuan pelawat iaitu di Dataran Putra untuk ke mercu tanda berkaitan dan ke Hotel Pulse Grande yang terletak di Taman Putra Perdana.

Dengan ketinggian anggaran 30 meter dan jarak pendakian sejauh 200 meter, binaan tangga itu diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik dunia seperti Spanish Steps di Itali, Potemkins Stairs di Ukraine dan tidak kurang juga Batu Caves.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, pembinaan projek tangga tersebut telah 80 peratus siap dan dijangka mula dibuka kepada pengunjung 1 Oktober.

“Alhamdulillah, sedikit masa lagi ia akan siap sepenuhnya dan akan menjadi salah satu produk pelancongan serta lokasi rekreasi terbaharu Putrajaya yang menghubungkan Dataran Putra ke kawasan tumpuan di Taman Putra Perdana Presint 1,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, selain direka khusus untuk pendakian dan penurunan, ia juga dibina dengan struktur, fasiliti serta peralatan yang membolehkan pengunjung melakukan aktiviti bersukan, beriadah mahupun rekreasi secara santai di sepanjang binaan tangga sambil menikmati panorama indah Putrajaya.

BAKAL JADI TANGGA IKONIK PELANCONGAN

Biarpun negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 namun usaha untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi yang unggul dengan pelbagai aktiviti serta tarikan dan produk pelancongan yang baharu dan inovatif tidak pernah terhenti.

Malah, Muhammad Azmi berkata, ia selari dengan aspirasi ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ di bawah Cakna Keindahan.

“Pembinaan tangga ini dijangka akan menarik penambahan pengunjung ke Putrajaya untuk melihat sendiri reka bentuk menarik binaan sekali gus kita akan menjadikannya sebagai tangga ikonik dan lokasi tumpuan pelancong di Putrajaya. Kedudukannya juga amat strategik iaitu di Taman Putra Perdana.

“Seperti yang diketahui, Taman Putra Perdana mempunyai tarikannya yang tersendiri di mana terletaknya mercu tanda pertama yang berketinggian 20 meter telah dibina bagi melambangkan titik permulaan pembangunan daripada sebuah ladang berkembang menjadi sebuah Wilayah Persekutuan.

Selain itu, terdapat dua buah bangunan ikonik Putrajaya di dalam taman tersebut iaitu Istana Melawati dan Hotel Pulse Grande Putrajaya,” ujar beliau.

Tambah Muhammad Azmi, produk terbaharu itu juga dijangka dapat menambah jumlah pengunjung ke Putrajaya jika sektor pelancongan dibuka semula pada masa akan datang.

“Ini kerana sepanjang penularan wabak yang bermula awal tahun lalu, kedatangan pelawat, pelancong mahupun pengunjung acara mencatatkan hampir 80 peratus penurunan berbanding 2019 apabila yang mana daripada jumlah itu, lebih 500,000 terdiri daripada pelancong,” kata beliau.

Sumber: WilayahKu & Kredit Foto: Bernama

Destination: 
Artikel berkaitan