Tasik Temenggor & Royal Belum Mula Dibuka. Ini 10 SOP Korang Kena Tahu Sebelum Bercuti Ke Sana!

TRAVEL
October 08, 2021 - 05:49 PM


Bagi korang yang rindukan percutian di Tasik Temenggor atau Taman Negeri Royal Belum, ini ada satu berita gembira!

Setelah hampir 19 bulan terpaksa menutup operasi disebabkan pandemik Covid-19, Tasik Temenggor dan Taman Negeri Royal Belum kembali dibenarkan dikunjungi pelawat mulai Jumaat (8 Oktober) bagi memulihkan semula aktiviti pelancongan di situ.

Tourism Perak Management Bhd. dalam kenyataannya berkata, kelonggaran bagi aktiviti pelancongan itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan termasuk pematuhan SOP oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Akhirnya, pengusaha produk pelancongan di Tasik Temenggor terutamanya pengusaha rumah bot atau houseboat dapat dapat menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini. 

“Pembukaan sektor pelancongan ini akan memberikan sinar baharu kepada mereka yang mana secara tidak langsung dapat membantu mempertingkat ekonomi komuniti setempat setelah sekian lama suram akibat tiada menerima kunjungan daripada pelancong,” kata kenyataan itu.

Berikut adalah beberapa SOP yang perlu dipatuhi jika korang berkunjung ke Tasik Temenggor atau Taman Negeri Royal Belum :-

1) Pengusaha perkhidmatan rumah bot perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Jabatan Perikanan serta wajib menyediakan kemudahan mengimbas kod QR MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan sekiranya tiada liputan internet. 

2) Menerusi pemeriksaan status MySejahtera, hanya individu yang berstatus berisiko rendah (Low Risk) termasuk ‘risiko rendah kontak rapat’ (Casual Contact Low Risk) sahaja dibenarkan masuk.

3) Perlu melakukan pemeriksaan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa aktiviti dilaksanakan dan kerap membasuh tangan serta menggunakan pencuci tangan. 

4) Proses nyahkuman dan pembersihan premis hendaklah dilaksanakan 3 kali sehari dalam tempoh operasi terutamanya di kawasan umum seperti surau, tandas, stor dan kaunter. 

5) Kebenaran bermalam dalam rumah bot dibenarkan dengan syarat rumah bot tersebut berada di dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum semasa bermalam iaitu selama 3 hari 2 malam manakala bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti asal penumpang.

6) Hanya pelanggan berumur antara 18 hingga kurang 60 tahun dibenarkan melaksanakan aktiviti bermalam rumah bot.

7) Pengunjung yang ingin memasuki Taman Negeri Royal Belum pula disyaratkan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.

8) Mereka hanya dibenarkan menjalankan aktiviti memancing secara harian tanpa melibatkan bermalam, pengunjung dalam Perak sahaja, pengusaha dan pengunjung telah lengkap divaksinasi dan perlu mengemukakan salinan sijil sah vaksinasi Covid-19 bersama borang permohonan permit serta kapasiti penumpang bot adalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar.

9) Aktiviti ke perkampungan Orang Asli buat masa ini adalah tidak dibenarkan.

10) SOP yang disediakan itu adalah tertakluk kepada sebarang perubahan arahan, peraturan dan SOP semasa yang diumumkan pihak kerajaan. 

Jelasnya, pengusaha pelancongan dan pengunjung perlu mematuhi garis panduan pelaksanaan aktiviti pelancongan di Tasik Temenggor, Gerik yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan Wabak Covid-19 dan memastikan destinasi tersebut selamat untuk dikunjungi.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Destination: