Konsert Blackpink & Coldplay Jana Hampir RM200 Juta Kepada Ekonomi Negara

HIBURAN
March 14, 2024 - 11:25 AM


Tahun lalu, dua buah konsert berskala besar melibatkan artis antarabangsa iaitu Blackpink dan Coldplay telah dianjurkan dan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 

Berdasarkan sumber, penganjuran dua buah konsert tersebut telah berjaya menjana pulangan ekonomi hampir RM 200 juta kepada negara.

Diumumkan di Dewan Rakyat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, konsert Blackpink telah membawa pulangan ekonomi bernilai RM64 juta, manakala konsert Coldplay pula RM130 juta. 

Selain itu, konsert berkenaan turut memberi sumbangan menerusi percukaian di mana Blackpink dan Coldplay masing-masing menyumbang RM2.7 juta serta RM8 juta kepada kerajaan. 

“Ini bermaksud pulangan hasil bagi sebuah konsert bersamaan dengan lebih kurang penganjuran dua acara sukan.

“Penganjuran acara konsert tidak hanya memberikan pulangan kepada perbadanan stadium malahan turut dinikmati pelbagai sektor seperti e-hailing, hotel, pengangkutan dan logistik,” katanya. 

Tambah Hannah, walaupun dua konsert berkenaan memberi impak besar kepada ekonomi, ia bukan bermakna pihak kementerian akan leka dalam memberi komitmen terhadap keutamaan memiliki padang bola yang baik.

Katanya lagi, perkara ini dapat dilihat melalui syarat ketat yang dikenakan ke atas penganjur sebelum sesuatu konsert boleh mengambil tempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, tegas beliau, Kementerian Belia dan Sukan juga meletakkan tanggungjawab kos pemulihan padang di atas bahu penganjur konsert dan bukannya Perbadanan Sukan Malaysia (PSM). 

“Saya nak bagi keyakinan kepada semua bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan rumah kepada Harimau Malaya dan perlawanan mereka selalu mendapat perhatian dan fokus KBS.

“Itu sebab selalunya kita melibatkan banyak mesyuarat dalam pastikan perlawanan boleh berlangsung…untuk pastikan standard kita jaga,” katanya lagi. 

 

Sumber: Utusan TV

Destination: