10 Juadah Hari Raya Yang Wajib Ada Pada Setiap Kali Menjelang Hari Bahagia

FOODIE
May 31, 2019 - 01:57 PM


1 Syawal menjelang tiba! Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan berpuasa sebelum meraikan Hari Raya Aidilfitri. Persiapan raya sudah siapkah? Minggu terakhir berpuasa pasti anda sibuk mempersiapkan pakaian, kuih-muih dan duit raya. Kompleks membeli-belah juga penuh dengan lautan manusia yang sibuk mencari barangan yang tidak lengkap di saat akhir. Yang hendak pulang ke kampung tu, kereta sudah serviskah? Jangan terlupa, tau. Ini adalah perkara yang paling penting perlu didahulukan. Nanti terpaksa beraya di tepi jalan pula.

Bagi yang tidak pulang ke kampung, sudah tentu sibuk menukar langsir dan karpet baru. Ada juga yang sudah bersedia menukar perabot baru sejak mula Ramadhan lagi. Untuk anda yang kebiasaannya sanak-saudara berkunjung ke rumah pada Hari Raya Pertama, sudah sediakan list juadah yang ingin dihidangkan pada 1 Syawal nanti? Jom ikuti list dibawah supaya anda dapat ‘idea’ untuk memasak hidangan buat para tetamu

Ketupat

Sebut sahaja ketupat pasti anda terbayangkan nasi impit berbentuk empat segi yang dibalut dengan daun ketupat. Ya, betul. Tetapi ketupat juga terbahagi kepada 2 jenis iaitu ketupat nasi dan ketupat daun palas, dimana dalamnya diisi dengan beras pulut. Setiap kali Hari Raya, pasti 2 jenis ketupat ini akan dihidangkan di rumah saya.

Lemang

Semasa pulang ke kampung, pasti anda akan nampak orang menjual lemang di dalam buluh di tepi jalan. Lemang diperbuat daripada beras pulut dan dicampurkan dengan santan untuk menaikkan lagi rasa lemaknya. Dicicah pula dengan rendang atau serunding, tidak cukup sebatang, jawabnya.

Soto Ayam

Soto ayam adalah makanan khas daripada Indonesia yang membawa maksud sup ayam dengan kuah yang berwarna kekuningan. Bagi anda penggemar soto, pasti anda tahu bahan-bahan ada di dalam soto ini seperti ayam yang dicarikkan, kacang tanah, nasi impit, taugeh, suhun dan kuah sambal hitam. Kalau nak lagi sedap, masukkan sedikit bihun ke dalam soto ini.

Asam Pedas

Bila sebut sahaja mengenai Asam Pedas, sudah tentu fikiran anda akan melayang ke Melaka. Ya, negeri ini terkenal dengan asam pedasnya yang ‘meletup’. Makanan harian ini juga dihidangkan buat para tetamu yang berkunjung pada Hari Raya.

Rendang

Jika di setiap rumah ada ketupat nasi atau ketupat daun palas, pasti sedap digandingkan dengan rendang. Tidak kiralah samada rendang ayam atau daging, sudah tentu terliur sesiapa sahaja yang melihatnya. Tambahan pula dengan dagingnya yang empuk….pergh. Laju saja tambah sepinggan lagi.

Satay

Satay merupakan salah satu makanan ruji rakyat Malaysia setiap kali menjelang Hari Raya. Pasti ada sahaja rumah yang anda kunjungi menghidangkan satay sebagai makanan jamuan. Letakkan secucuk dua di atas pinggan dan tuangkan sedikit kuah kacang ke atasnya. Wah…nikmatnya!

Lontong

Makanan ini datang khas dari negeri Johor. Terdapat 2 jenis lontong yang terkenal di bahagian selatan Malaysia iaitu lontong sayur lodeh dan lontong darat. Pelbagai jenis sayuran seperti kacang panjang, tauhu, lobak, sengkuang, tempe dan kobis dimasukkan ke dalam lontong ini untuk dijadikan hidangan menarik buat para tetamu. Digandingkan pula dengan nasi impit dan kuah kacang…cukup ke semangkuk tu?

Burasak

Makanan tradisional daripada masyarakat Bugis di Sabah ini juga merupakan juadah yang jarang kita dengari di semenanjung. Ianya merupakan makanan tradisi yang wajib perlu ada semasa Hari Raya. Dimakan pula dengan kuah asam dan rendang. Jika anda ke Sabah semasa Hari Raya nanti, jangan lupa cuba tau!

Laksa

Bagi yang menggemari laksa, anda pasti tidak akan ketinggalan untuk mencubanya jika anda tuan rumah yang anda kunjungi menghidangkan laksa sebagai jamuan Hari Raya itu. Laksa juga terdapat pelbagai jenis seperti Laksa Kedah, Laksa Johor, Laksa Sarawak dan Asam Laksa. Mana satu pilihan anda?

Ayam Ungkep

Berasal dari Jawa, Ayam Ungkep ini adalah hidangan yang ‘must-have’ semasa Hari Raya bagi rakyat Indonesia. Untuk anda yang menggemari masakan Jawa, dapatkan resepinya secara online. Bahannya juga tidak remeh, jadi mudah untuk anda memasak sendiri di rumah.

Setiap kali berkunjung ke rumah sanak-saudara, senarai juadah di atas pasti akan terhidang di atas meja. Apa kata anda cipta kelainan dengan hidangkan sesuatu yang jarang sekali orang lain hidang di pagi Raya. Hmm…nampaknya perut anda sudah berkeroncong sambil membaca senarai juadah di dalam artikel kali ini.