Tak Tahu Nak Masak Apa Daging Korban Nanti? Jom Cuba Menu 'Comeback' Pavithra Ni, Dalca Tulang Kambing!
FOODIEPada Jumaat ini (31 Julai 2020), umat Islam di Malaysia dijangka bakal meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban.
Seperti lazimnya ibadah korban dengan menyembelih lembu dan kambing akan dilaksanakan secara gotong-royong di seluruh negara untuk diagihkan kepada fakir miskin dan golongan tertentu yang layak menerima daging tersebut.
Jika anda tidak tahu atau kekeringan idea untuk masak apa dengan daging korban yang diterima nanti, mungkin menu 'comeback' yang dimuatnaik oleh YouTuber sensasi negara iaitu Sugu Pavithra di media sosialnya boleh anda cuba!
Selepas dilanda kontroversi pada minggu lalu hingga menyebabkan kesemua 98 video di saluran masakan Youtubenya dipadamkan -- Pavithra kini membuat kemunculan semula dengan menu pertamanya iaitu 'Dalca Tulang Kambing'.
Video berdurasi 6 minit, 14 saat itu menampilkan Pavithra secara bersahaja menunjukkan demonstrasi masakan dalca menggunakan tulang kambing yang sehingga hari ini (29 Julai) telah mendapat 220,391 views dan 27,000 likes selepas dimuatnaik tidak sampai 24 jam.
Berikut senarai bahan masakan yang dikongsikan wanita itu jika anda ingin mencubanya.
BAHAN-BAHAN DALCA TULANG KAMBING :
- Tulang kambing: 1kg
- Dhal malawi:1cawan
- Dhal merah: 1cawan
- Tomato:3 biji
- Terung: 1biji
- Daun kari: sedikit
- Daun ketumbar: sedikit
- Bawang merah:1
- Lobak merah:1
- (Halia:3cm Bawang putih: 6ulas =ditumbuk halus)
- Kayu manis: 2
- Bunga lawang:2
- Buah pelaga:2
- Bunga cengkih: 2
- Serbuk kunyit: 3 sudu kecil
- Serbuk cili kering: 2 sudu besar
- Serbuk ketumbar: 2 sudu besar
- Serbuk jintan putih: 2 sudu besar
- Serbuk kurma : 2 sudu besar
- Minyak masak: sedikit
- Minyak sapi: 1sudu besar
Mungkin ramai yang telah mengenali bintang masakan Youtube ini yang pernah menggemparkan negara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana telah mencuri perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hingga saluran mereka menjadi viral.
Bagaimanapun baru-baru ini, pasangan Sugu dan Pavithra dilanda kontroversi hingga menjadi kes mahkamah dan menyebabkan mereka memadamkan kesemua video masakan di saluran Youtube bagi membuka lembaran baharu.
Semoga dengan kemunculan semula menu-menu masakan oleh pasangan suami isteri itu bakal memberikan suatu sinar penghijrahan kepada mereka dan mengembalikan kemeriahan di dapur rakyat Malaysia yang ingin mencuba hidangan hasil inspirasi YouTuber muda tersebut.