Masih Dalam Mood Raya? Jom Cuba Resepi ‘Rendang Sampah’ Menu Popular Orang Perlis!

FOODIE
June 26, 2019 - 11:49 AM


Tinggal seminggu sahaja lagi kita dalam bulan Syawal dan pastinya mood raya masih hangat terasa meskipun di saat-saat akhir ini.

Begitu juga dengan hidangan Hari Raya yang popular iaitu rendang, tetap tak jemu untuk dinikmati, kan?

Kalau selalunya kita masak menu rendang ayam dan daging versi asli yang berwarna coklat kemerahan, apa kata kali ini kita buat kelainan dengan cuba resepi rendang versi Orang Utara iaitu Perlis yang popular dengan ‘Rendang Sampah’.

Nama Rendang Sampah dipilih untuk menu ini memandangkan terdapat banyak ‘sampah’ yang dihasilkan daripada hirisan serai, halia dan bawang yang dimasukkan ke dalamnya.

Uniknya rendang yang berwarna seakan kuning kehijauan ini tidak menggunakan bahan utama rendang biasa iaitu kerisik!

Jom kita tengok apa bahan-bahan dan cara memasak Rendang Sampah ini.

BAHAN-BAHAN:

5 keping isi ikan (ikut pilihan sendiri)

6 biji cili api (dibelah tengah tapi jangan sampai putus)

1 1/2 cawan santan

1/4 cawan air

1-2 sudu besar cuka (ikut paras kemasaman yang di gemari)

3 ulas bawang putih dihiris

5 ulas bawang merah dihiris

4 batang serai dihiris nipis

1/4 inci halia dihiris nipis dipotong halus

1 biji tomato dibelah enam

1 biji bawang besar di hiris besar

10 biji kacang bendi

2 helai daun limau purut (jika mahu)

Serbuk kunyit, garam dan gula secukup rasa

 

CARA PENYEDIAAN:

1. Bersihkan ikan serta gaul dengan garam dan serbuk kunyit sebelum digoreng. Selesai goreng ketepikan dan biar sejuk.

2. Masukkan 3 sudu besar minyak masak ke dalam periuk dan panaskan.

3. Bila minyak panas masukkan serai yang dihiris nipis dan goreng. Bila 3/4 garing masukkan hirisan halia, bawang putih dan bawang merah.

4. Bila sudah wangi masukkan cili api dan goreng sebentar sebelum masukkan air. Bila air mendidih masukkan kacang bendi. Bendi cepat masak ya jadi lepas tiga minit masukkan santan serta serbuk kunyit.

5. Kacau selalu jangan biarkan pecah minyak. Masukkan cuka atau asam keping serta perasakan. Masukkan ikan goreng bersama hirisan bawang besar, tomato dan daun limau purut (jika mahu).

6. Setelah mendidih, padamkan api dan siap untuk dihidangkan.