8 Restoran Halal Yang Boleh Anda Singgah Di Pulau Jeju, Korea Selatan!
FOODIESemakin ramai rakyat Malaysia yang gemar untuk bercuti ke Pulau Jeju iaitu pulau terbesar di Semenanjung Korea Selatan.
Mana taknya, Jeju memiliki pelbagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang sesuai dikunjungi sepanjang empat musim.
Malah, kemudahan untuk mendapatkan makanan halal di sana juga tidak sukar kerana pulau ini sememangnya menawarkan beberapa restoran halal yang boleh dikunjungi oleh pelancong Muslim.
Berikut senarai restoran mesra-Muslim yang terdapat di Pulau Jeju untuk anda kunjungi bagi menjamu selera:-
#1. Daewonga
Restoran ini menawarkan pelbagai hidangan makanan laut segar yang baru ditangkap oleh penyelam wanita Haenyeo yang sangat terkenal di Jeju.
Menu wajib yang mesti korang cuba adalah sup abalon atau 'haemul cheongbol' yang bermaksud stimbot makanan laut mereka yang berharga 60,000KRW tapi lengkap dengan abalon, kerang, ketam, sotong dan semuanya disatukan dalam sebuah periuk dengan kaldu kimchi!
Rasa supnya sangat sempurna kerana tidak terlalu pedas dan ramuan semua makanan laut segar itu sebati dengan kuahnya yang membuatkan anda tak berhenti menikmatinya.
Setelah sup bercampur dengan semua rasa makanan laut, tambahkan satu paket ramen untuk lebih enjoy!
Walaupun mungkin harganya agak mahal namun setiap periuk boleh dinikmati sekitar 3-4 orang dan ia sangat berbaloi jika dikongsi bersama.
Di Daewonga anda juga dibenarkan untuk mendirikan solat di restoran tersebut.
Restoran ini dibuka setiap hari kecuali Selasa dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 9.30 malam.
Alamat: 62-1 Donam-dong, Cheju, Jeju, Korea Selatan
#2. Bagdad Halal Jeju
Bagdad Halal Jeju merupakan restoran India pertama yang dibuka di pulau ini.
Disahkan oleh Islamic Centre of Jeju, Bagdad merupakan salah satu tempat makan paling popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong Muslim.
Pilihan sajian yang terkenal adalah menu set termasuk samosa, ayam tandoori, roti naan, butter naan dan hidangan pencuci mulutnya iaitu Mango Lassi.
Bagdad juga menyajikan hidangan bagi penggemar vegetarian.
Restoran ini dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam.
Alamat: 38 Seogwang-ro 32-gil, Ido 2(i)-dong, Cheju, Jeju, Korea Selatan
#3. Cheonhaecheon
Bagi anda yang gemarkan hidangan shabu-shabu Korea, Cheonhaecheon adalah restoran yang tepat untuk anda!
Di sini ia menyajikan bufet daging halal yang diperakui oleh Pusat Kebudayaan Islam Jeju dan berharga 34,000 KRW setiap orang.
Bukan sahaja mereka mempunyai potongan daging yang berlainan, anda juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut seperti abalon, udang karang, udang dan ketam.
Setiap meja diberikan 2 jenis sup berbeza iaitu sup asli dan kimchi.
Cheonhaecheon juga mempunyai bahagian makanan yang dimasak dan mereka mempunyai ayam goreng Korea, tteokbokki dan juga takoyaki.
Ia dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.
Alamat: 25 Halladaehang-ro, Nohyeong-dong, Cheju, Jeju, Korea Selatan
#4. Mulmegaol
Restoran ini terkenal selepas disiarkan di televisyen tempatan sebagai restoran yang 'paling jujur' dan sangat popular dengan menu berasaskan herba dan teh tradisional Korea.
Mulmegaol menyajikan variasi hidangan sampingan bagi penggemar vegetarian seperti Lotus Leaf Rice yang dikenali sebagai 'Yeoipbab' dan 'Perilla Seed Sujebi'.
Selain itu, anda juga boleh mencuba menu istimewa lain seperti penkek, salad, tofu, rice wrapped cookies dan yogurt beras tradisional Jeju yang dipanggil 'Shindari'.
Restoran ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5 petang sahaja.
Alamat: 67 Beondaedong-gil, Aewol-eup, Cheju, Jeju, Korea Selatan
#5. Uribong Sikdang
Restoran ini terletak berhampiran Pelabuhan Seongsan di mana anda akan turun apabila tiba di Jeju.
Uribong Sikdang terkenal dengan hotpot makanan laut dan makarel panggang tetapi jangan anda lupa untuk memesan juga braised beltfish dan penkek makanan lautnya yang memang sedap.
Ia dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.
Alamat: 157-1 Seongsan-ri, Seongsan-eup, Seogwipo, Jeju, Korea Selatan
#6. Bada Janchi
Restoran ini khusus dalam penyediaan makanan laut terutamanya ikan.
Ia hanya menggunakan bahan dan ramuan Korea untuk memastikan makanan yang dihidangkan kepada pelanggannya segar dan sedap.
Menu wajib yang anda kena cuba di sini ialah 'Galchi-jorim' atau braised cutlassfish yang berharga 38,000KRW.
Selain itu, pengunjung Muslim boleh menikmati pelbagai hidangan berasaskan ikan seperti ikan panggang, bubur dan ikan rebus.
Menariknya di Bada Janchi yang dikategorikan sebagai restoran Mesra-Muslim ini turut menyediakan bilik solat.
Ia dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 9.30 malam.
Alamat: 1221-22 Samdo 2(i)-dong, Cheju, Jeju, Korea Selatan
#7. Tamra Badang
Restoran ini dibuka pada Disember 2014 dan menghidangkan makanan khusus bagi masakan tempatan Jeju yang sungguh lazat.
Tamra Badang juga sangat terkenal dengan sup ikan pedasnya yang dikenali sebagai 'Haemultang'.
Lokasinya juga mudah untuk diakses hanya 3.7 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju dan hanya 12 minit jika anda menaiki teksi.
Restoran ini turut menawarkan pemandangan laut yang cantik dan sangat menenangkan.
#8. Seopji Haenyeouijip
Restoran ini terkenal di Pulau Jeju untuk sajian bubur nasi dengan abalon dan merupakan salah satu hidangan kegemaran pelancong jika ke sini.
Menu lain yang wajib anda cuba adalah 'Gengi Juk', bubur nasi dicampur dengan daging ketam yang dicincang halus.
Restoran ini juga menawarkan pemandangan pantai yang sangat indah.
Alamat: 93-15, Seopjikoji-ro, Seongsan-eup, Seongwi-po-si, Jeju, Korea Selatan