8 Tempat Makan Halal Di Busan

TRAVEL
April 02, 2019 - 12:14 PM


Bagi yang melancong ke Busan, Korea Selatan korang tak perlu risau tentang mendapatkan makanan halal di sana.

Ini kerana pihak Korea Tourism Organization telah mengeluarkan pamplet ‘Busan Tour Guide For Muslim’ yang menggambarkan bahawa Korea semakin peka dan prihatin tentang kemudahan mendapatkan hidangan halal bagi pelancong Muslim.

Kredit: mat-drat.blogspot.com

Mereka mengkategorikan 4 ciri-ciri bagi sesebuah restoran yang digelar ‘Muslim Friendly’ seperti perolehan sijil halal dari pihak berkuasa, pengesahan halal daripada pemilik restoran, hidangan halal tapi ada menjual alkohol dan bebas daging khinzir (pork-free).

Jadi, jom kita tengok senarai restoran halal yang ada di Busan ini!

 

#1. Cappadocia Turkish Kebab House

Di Busan terdapat sebuah masjid yang dipanggil Masjid Al-Fatah. Masjid ini dikatakan dibina dengan kerjasama daripada pihak negara Turki.

Maka, tak hairanlah berdekatan dengan masjid ini ada sebuah restoran yang dinamakan Cappadocia Turkish Kebab House dan tentunya menyajikan hidangan asli Turki.

Alamatnya adalah di 123-9 Geumdan-ro, Namsan-dong, Geumjeong-gu, Busan.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam.

 

#2. Morocco Casablanca Restaurant Halal Food

Restoran ini juga terletak di berdekatan atau lebih tepat di sebelah Masjid Al-Fatah dan memang terkenal di kalangan warga Muslim di Busan untuk menjamu selera.

Ia menghidangkan pelbagai juadah autentik dari negara Maghribi seperti Kuskus, Dimlama, Tajine dan Tahini. Tapi, hidangan yang wajib dicuba pengunjung tentunya barbeku kambing mereka.

Alamatnya adalah di 113-15 Geumdan-ro, Geumjeong-gu, Busan.

Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 10.30 pagi hingga 9 malam.

 

#3. Bakso Bejo Korea

Bakso Bejo Korea mula beroperasi di Busan pada tahun 2014. Pada awalnya mereka hanya menjual makanan kegemaran masyarakat Indonesia iaitu Bakso di tepi-tepi jalan.

Namun pada bulan Julai 2018, Bakso Bejo telah membuka sebuah restoran di 40-1, Gwangbok-ro, Jung-gu, Busan yang lengkap dengan surau di dalamnya.

Di sini selain hidangan Indonesia yang halal, pelanggan juga boleh membeli produk sejuk beku seperti bakso, daging, makanan ringan dan barangan keperluan harian.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9.30 malam.

 

#4. BIFF Square – Mee Goreng & Hotteok

Kalau anda berjalan-jalan di Busan International Film Festival (BIFF) dan perut terasa lapar. Anda boleh mencari sebuah gerai mee goreng di tepi jalan yang diusahakan oleh 2 gadis Indonesia.

Hidangan mee goreng mereka hanya berharga 4000 Won. Tapi tak dapat dipastikan sama ada mereka masih berniaga di sekitar BIFF ataupun tidak. Jadi, nanti korang tolong update admin ya mengenai kewujudan gerai mee goreng sedap ni di Busan!

Kalau korang nak rasa street food Korea iaitu Hotteok di BIFF Square ni memang tempat yang paling tepat korang singgah. Banyak deretan gerai yang menjual penkek Korea yang sedap ni.

Hotteok ni ada inti gula perang dan kekacang. Jangan risau sebab kebanyakkan peniaga Korea menggoreng Hotteok ini menggunakan minyak sayuran dan memang sedap dimakan panas-panas Hotteok!

 

#5. Hello India Al-Waha

Restoran yang menghidangkan makanan autentik India dan Lubnan ini terletak berdekatan dengan Pantai Haeundae.

Jika singgah ke sini, pastikan korang pesan menu Lubnan mereka yang terkenal iaitu kebab kambing dan ayam, barbeku daging platters, hummus dan salad segar.

Malah, dengan hanya 12,000 Won korang akan dapat set hidangan lengkap nasi beriyani, kari ayam, roti, ayam tandoori dan juga salad. Menarik, kan?

Alamat restoran ini adalah 196 Okpo-ro, Okpo-dong, Geoje-si, Gyeongsangnam-do.

Dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

 

#6. Punjab Indian Restaurant

Restoran ini juga terletak berhampiran Pantai Haeundae. Ia sangat terkenal di kalangan pelancong asing dan masyarakat Korea hingga pernah muncul di stesen televisyen tempatan iaitu KBS dan MBC.

Pelbagai hidangan asli India Utara disajikan di sini antaranya ayam Masala, Paneer butter masala, Dal Makhani, Naan dan Beriyani.

Alamat restoran ini adalah di 1393-31 Jung 1(il)-dong, Haeundae, Busan.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

 

#7. Samarkand

Bagi korang yang mencari kelainan makanan halal di Busan, korang boleh cuba hidangan masyarakat Uzbek di restoran Samarkand.

Mereka menyajikan lamb skewers, chicken schnitzel, grilled beef, deep fried dumplings dan samsa yang sangat sedap. Bagi pencuci mulut mungkin korang boleh pesan sepotong kek Russian disertai dengan secawan teh hitam panas yang baru dikisar. Memang mengagumkan betul rasanya!

Samarkand ini terletak di 225, Jungang-daero, Dong-gu, Busan.

Ia dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

 

#8. Jagalchi Market

Apalah maknanya kalau bercuti ke Busan tanpa menikmati hidangan laut segar di Jagalchi Market.

Jagalchi ini merupakan pasar ikan terbesar di Korea dan semua makanan lautnya adalah segar-segar belaka kerana dibawa terus dari nelayan di pelabuhan ke pasar tersebut.

Di sini ada banyak restoran atau gerai yang menjual makanan laut hidup dan juga yang telah dikeringkan. Kalau korang penggemar sashimi atau sushi, Jagalchi Market ini memang tempat terbaik untuk korang menjamu selera.

 

Destination: