Bagusnya Kafe Kat Penang Ni, Beri Makanan Percuma Kepada Yang Memerlukan Sepanjang PKP!

FOODIE
February 02, 2021 - 02:55 PM


Seperti yang kita tahu negara kini sedang melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semestinya keadaan ini sangat memeritkan buat sesetengah golongan masyarakat yang kehilangan punca pendapatan atau dibuang kerja.

Prihatin dengan masalah tersebut, sebuah kafe di Lebuh Carnarvon, Pulau Pinang telah bermurah hati menyediakan makanan percuma untuk mereka yang memerlukan setiap hari sepanjang tempoh PKP ini.

Menerusi posting di Facebook rasminya, kafe WTF Studios didapati meletakkan beberapa kotak bungkusan makanan tersusun di luar pintu masuknya, dengan paparan bertulis, ‘ambil makanan panas percuma… dapatkan makanan panas percuma yang telah dibayar orang lain...ambil satu kotak dan masuk ke dalam...kita semua bersama dalam situasi ini’.

Menurut pengusaha kafe tersebut Joshua Levi Rasen kepada Bernama, sumbangan itu bukan sahaja ditujukan kepada mereka yang terkesan akibat PKP -- tetapi sesiapa sahaja dalam kalangan masyarakat yang memerlukannya, boleh mendapatkan makanan percuma daripada mereka.

Program sumbangan kebajikan yang sedang berjalan itu dikenali sebagai ‘Program Bayarkan Dahulu’, telah dimanfaatkan sejumlah individu yang sukar untuk mendapatkan makanan yang sempurna pada masa ini.

Kredit Foto: NSTP

“Kami memberikan secara puratanya 11 set makanan setiap hari sejak kami memulakannya minggu lepas, dan mereka yang mengambilnya datang dari pelbagai lapisan masyarakat, dengan masalah tersendiri.

“Ada yang datang, berasal dari Pakistan dan Ireland yang terkandas di Pulau Pinang dan memerlukan makanan, dan ada juga gelandangan dari kawasan berhampiran, selain mereka yang telah dibuang kerja ketika PKP,” katanya.

Setakat ini, program makanan percuma mereka itu telah menerima sokongan yang baik daripada pelanggan dan penyumbang.

Kredit Foto: NSTP

Beliau menjelaskan yang makanan percuma itu disumbangkan sama ada menerusi sumbangan ataupun sebahagian daripada jualan makanan.

“Sokongan yang diterima tidak disangkakan dan menakjubkan kerana kami telah menerima sumbangan di luar daripada Pulau Pinang seperti Kuala Lumpur, Singapura dan malah dari U.K.,” katanya dan menambah yang beberapa penyumbang telah merancang untuk menyumbang setiap bulan.

Kredit Foto: Penang Foodie

Beliau berharap yang mereka akan dapat terus membantu anggota komuniti yang memerlukan dan mewujudkan satu kesedaran mengenai program kebajikan mereka ini.

“Kami akan meneruskan program kebajikan kami ini walaupun selepas PKP tamat, dan dengan sokongan yang kami terima sehingga kini, kami mahu memastikan yang sumbangan ini akan digunakan sebaiknya,” katanya lagi.

Kredit Foto: Penang Foodie

Sumber: BERNAMA

Destination: