Froogurtz - 'llaollao' Pertama Di Kelantan!

FOODIE
July 12, 2021 - 03:36 PM


Korang masih ingat tak sekitar tahun 2011, Malaysia pernah mengalami fenomena di mana rakyat kita gemar dengan 'frozen yogurt' atau singkatannya Froyo?

Antara jenama popular yogurt sejuk beku dahulu adalah Tutti Frutti, namun ia telah menghentikan operasi dan kini jenama yang semakin menjadi kegilaan adalah llaollao atau sebutan sebenarnya "yao-yao" -- yang berasal dari negara Sepanyol. 

Namun siapa sangka, dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini Kelantan juga muncul dengan jenama frozen yogurt pertamanya iaitu 'FROOGURTZ', yang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar desert itu.

Lebih menarik, Froogurtz yang merupakan gabungan ayat antara 'frozen' (beku) dengan 'yogurt' ini merupakan satu-satunya kafe di Kelantan yang memperkenalkan yogurt beku ataupun aiskrim yogurt dengan harga serendah RM6 hingga RM17.

Keenakan Froogurtz juga setanding dengan jenama antarabangsa yang menggunakan kombinasi rasa masam dan manis.

Malah pelanggan turut berpeluang menikmatinya bersama 40 jenis topping atau hiasan pilihan menarik, terdiri daripada pelbagai buah-buahan segar, bijirin, biskut serta sos manisan seperti coklat atau madu yang 'menghiasi' lingkaran yogurt beku itu.

Kalau korang nak tahu, kafe yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian ini sebenarnya diusahakan oleh seorang anak tempatan bernama Mohamad Hafizuddin Che Soh berusia 29 tahun.

Memetik temubual beliau bersama Bernama, bekas guru vokal di Sekolah Antarabangsa Sri KL, Kuala Lumpur ini membuat keputusan pulang ke kampung halamannya dan membuka Froogurtz selepas terpaksa berhenti sebagai tenaga pengajar akibat pandemik Covid-19.

(Kiri) - Mohamad Hafizuddin Che Soh, Pemilik Kafe Froogurtz

"Saya mengajar di sekolah itu bermula 2018 hingga pertengahan tahun lepas. Namun, apabila Covid-19 melanda dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan pada Mac tahun lepas, sekolah terpaksa ditutup dan menghentikan sementara khidmat guru-guru kontrak termasuk saya.

"Pada waktu itu, agak sukar untuk bertahan dan simpanan pun semakin kurang. Disebabkan itu, saya buat keputusan balik Kelantan dan menetap bersama ibu bapa di Kota Bharu dan fikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," kata siswazah Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Namun keputusan nekad membuka Froogurtz bermula 1 November 2020 itu akhirnya membuahkan hasil lumayan apabila perniagaannya meraih keuntungan mencecah RM100,000 sebulan.

Ternyata yogurt beku yang dihasilkan menggunakan resipinya sendiri mendapat sambutan daripada penduduk Kelantan, apabila Kafe Froogurtz sentiasa didatangi pelanggan atau 'full house' setiap hari.

Malah, Hafizuddin turut dijangka menambah satu lagi cawangannya di Wakaf Bharu sekitar Ogos depan.

FIRST FROZEN YOGURT IN KELANTAN

ALAMAT : (Waze) Hotel Mansya Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan

WAKTU OPERASI: Sabtu - Khamis (12 Tengah Hari - 10 Malam) & Jumaat (3 Petang - 10 Malam)

FACEBOOK: Froogurtz

NO TEL: 09-767 8508

Sumber: Bernama & Kredit Gambar: FB Froogurtz
 

Destination: