Movilion Coffee House - Kafe 2D Pertama Di Kelantan Yang Korang Kena Cuba!

FOODIE
September 13, 2021 - 10:27 PM


Bagi anda yang menetap di Kelantan dan mencari sebuah restoran unik untuk menjamu selera selepas lama tidak merasai pengalaman 'dine-in' -- mungkin anda boleh singgah ke Movilion Coffee House, Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu.

Uniknya Movilion ini berkonsepkan kafe dua dimensi (2D) yang pertama di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Restoran itu menampilkan hiasan dinding dan lantainya 'dicat' warna putih-hitam dengan lukisan 2D -- yang mempamerkan pelbagai suasana di beberapa bahagian tempat makan antaranya gambaran seorang wanita sedang menikmati minuman di restoran.

Lebih menarik lagi, restoran ini diusahakan oleh seorang anak muda bernama Ismail Mohamad, 24 tahun yang mendapat inspirasi membuka kafe tersebut hasil pengalaman 'travel' beliau ke 25 negara termasuk Korea Selatan.

Kini, anak jati Kota Bharu itu yang juga bekas kakitangan di sebuah syarikat penerbangan tempatan berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan Movilion serta telah mempunyai 2 cawangan iaitu di Pasir Pekan dan Kota Bharu.

“Trend anak muda sekarang yang suka mengambil gambar dan berkongsi di media sosial memberi idea kepada saya untuk membuka kafe ini, malah pekerjaan sebelum ini yang berpeluang melawati negara luar juga memberi inspirasi kepada saya membuka kafe konsep 2D yang pertama di Kelantan,” katanya.

“Pertama kali saya bercuti ke negara berkenaan pada 2018 dan semasa melawat bandar Incheon dan Seoul, saya ternampak dan kagum dengan sebuah kafe di situ yang menggunakan hiasan dalaman 2D bertemakan suasana dan budaya Korea zaman dahulu.

“Maka, saya terdetik untuk mengusahakan kafe seumpama itu memandangkan tiada lagi kafe berkonsepkan 2D di Kelantan. Justeru, saya mengambil peluang ini supaya perniagaan saya tampak berbeza berbanding pengusaha kafe tempatan yang lain,” katanya.

Selain menyediakan minuman kopi, Movilion juga menjual pelbagai juadah ala barat antaranya pasta dan ‘chicken grill’, termasuk pencuci mulut seperti aiskrim berperisa ‘cheesecake’ dan menu istimewanya 'waffle with ice cream' yang menjadi jualan terlaris ketika ini. Kesemua makanan dan minuman itu adalah resipinya sendiri.

MOVILION COFFEE HOUSE PART 2 

ALAMAT: Lot 988-C (tingkat bawah) Bangunan BeeNa A Rahman, Jalan Pasir Mas, Kampung Pasir Pekan, 16250 Wakaf Bharu, Kelantan

WAKTU OPERASI: Isnin - Ahad (11 Pagi - 10 Malam)

NO TEL: 011-1123 0160

FACEBOOK: Movilion coffee house

INSTAGRAM: movilioncoffeehouse

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: FB Movilion

Destination: