Jus Susu Kurma: Gabungan 2 Makanan Sunnah Yang Sedap & Berkhasiat

FOODIE
May 07, 2019 - 01:36 PM


Setiap kali menjelang bulan Ramadhan, buah kurma antara hidangan berbuka puasa yang disunatkan untuk dijamah dahulu kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula rendah dalam darah kita kepada paras normal.

Malah, kehebatan makanan sunnah yang disebutkan dalam Al-Quran ini juga diiktiraf oleh dunia perubatan kerana ia mengandung pelbagai vitamin penting yang diperlukan tubuh badan.

Selain, menjadi penghalang kepada pelbagai penyakit seperti sembelit dan kencing manis.

Susu pula mengandungi kandungan kalsium yang tinggi, menguatkan badan, serta membantu penyerapan vitamin dan mineral dengan lebih berkesan.

Sebab itulah susu merupakan gabungan terbaik bersama kurma!

Jom buat sendiri susu kurma untuk waktu berbuka dan bersahur supaya semua ahli keluarga juga kekal bertenaga dan tidak mudah letih ketika berpuasa.

BAHAN-BAHAN

7 biji kurma, buang bijinya (untuk 1 gelas)

Air kosong secukupnya

Susu segar, susu UHT atau susu kambing

CARA PENYEDIAAN

1. Buang Biji Kurma

Asingkan kurma daripada bijinya. Bijinya ini banyak khasiat juga. Kalau rajin anda boleh keringkan dan jadikan kopi.

 

2. Rendam Kurma

Rendam di dalam air kosong hingga menutupi permukaan kurma yang paling atas. Biarkan ia semalaman, kira-kira dari waktu Isyak hingga waktu sahur.

Anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk atau dalam suhu bilik.

Air rendaman kurma ini juga bagus diminum begitu saja. Ia digelar air naqi’ atau ada yang menyebutnya air nabeez. Sangat sesuai untuk detoks!

 

3. Campur Dengan Susu

Ketika bangun sahur, campurkan kurma yang terendam tadi beserta air rendamannya bersama susu secukupnya.

 

4. Kisar

Kisar semuanya hingga halus menggunakan blender.

 

5. Tambah Topping Ikut Selera!

Kalau nak nampak lebih berselera, boleh tambah topping seperti kacang almond cincang atau serbuk kayu manis.

Jika ingin meminumnya lagi semasa berbuka puasa, kurma boleh direndam lagi apabila selesai bersahur.