Makanan Khas Kota Palembang Yang Perlu Anda Cuba
FOODIEKota Palembang, kota kedua terbesar di Sumatra selepas Medan ini sememangnya penuh bersejarah dan merupakan kota tertua yang ada di Indonesia.
Majoriti penduduk di Palembang terdiri daripada masyarakat Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu yang telah disesuaikan dengan dialek setempat dan kini dikenali sebagai Bahasa Palembang. Selain daripada destinasi pelancongan menarik, Palembang juga ada pelbagai jenis makanan yang enak dan khusus boleh didapati di sini.
Berikut adalah makanan atau disebut kuliner khas Kota Palembang, jadi sekiranya anda berada disana, cuba cari makanan – makanan berikut :
#1. Pempek
Pempek juga disebut sebagai empek – empek atau mpek – mpek merupakan sejenis bebola ikan yang menjadi makanan khas dan tradisi di Palembang. Jadi, boleh dikatakan perjalanan ke Palembang tidak akan lengkap sekiranya anda tidak mencuba pempek.
Secara umumnya, pempek diperbuat daripada isi ikan dan ia akan dicampurkan dengan tepung jagung dan telur. Ia boleh dimakan sebagai snek ataupun sebagai menu utama. Paling penting, ia akan dimakan bersama ‘cuko’ atau disini kita panggil sambal kicap.
#2. Tekwan
Tekwan ini, cara pembuatannya agak sama dengan pempek. Cuma, biasanya ia akan dibentukkan bulat dan lebih kecil dari saiz pempek. Ia akan disajikan dalam kuah udang yang mempunyai rasa yang unik.
Jika di Palembang, Tekwan biasanya akan dimakan dengan sup dan ia akan dicampurkan dengan pelbagai bahan lain seperti bihun, bawang goreng, hirisan daun bawang dan lain – lain. Boleh dianggap macam soto jugak kalau nak cari persamaannya.
#3. Pindang Patin
Jika di Malaysia, ikan Patin terkenal di Pahang dan kebiasaannya akan dibuat Patin Tempoyak. Di Palembang, mereka juga terkenal dengan masakan ikan patin. Kelainannya, ia akan dimasak Pindang.
Menurut rasa, boleh dikatakan ia seperti masak asam, ia biasanya akan dihidang bersama kuah yang mengandungi rebusan garam dan rempah ratus.
#4. Kue Delapan Jam
Kue delapan jam ini mendapat nama dari proses pembuatannya.
Menggunakan bahan – bahan seperti telur itik, gula, mentega dan susu pekat, kueh ini mengambil masa 8 jam untuk dihasilkan. Rasanya manis dan agak kenyal seperti brownie.
#5. Nasi Minyak
Sama seperti di Malaysia, nasi minyak yang merupakan sajian tradisi Palembang ini akan disajikan pada majlis – majlis yang berkait dengan adat tradisi. Salah satunya ialah perkahwinan.
Ia biasanya disajikan dengan malbi (seperti rendang), biasanya diperbuat dari daging lembu dan ia berasa sedikit manis. Selain malbi, nasi minyak biasanya akan disajikan dengan lauk seperti pentol ayam (daging ayam yang yang dibuat seperti bebola).
Untuk menikmati sajian ini, kami syorkan anda ke Rumah Limas Haji Aziz di Palembang dan nikmati santapan istimewa ini (dipanggil ngidang) disana. Cuma, hubungi mereka dahulu. Sebab satu set nasi minyak, bersama 5 jenis lauk (mungkin lebih) berharga sekitar Rp 1,200.000 (RM350) untuk 8 orang.
#6. Martabak HAR
Martabak HAR adalah sajian berbentuk seperti murtabak dan ia diperbuat dari tepung dan telur, disajikan dengan kari, kentang dan daging kambing.
Nama HAR adalah nama pemilik restoran ini iaitu Haji Abdul Rozak yang merupakan seorang pedagang dari India. Di Palembang, Martabak HAR merupakan martabak yang paling popular disana dan ia telah wujud sejak tahun 1947 lagi tau.
#7. Kue Gomak
Kue Gomak adalah kuih khas Palembang yang diperbuat dari ubi kayu, telur, susu pekat dan kelapa.
Ia akan digoreng sebelum dihidangkan untuk makan petang.