"Saya Kurang Teliti..." - Tuduh Rakyat Malaysia Suka ‘Claim’ Makanan Indonesia, Mat Saleh Ini Mohon Maaf

FOODIE
March 11, 2024 - 02:21 PM


Bukan pelik untuk rakyat Malaysia dan Indonesia 'berperang' soal makanan memandangkan sebahagian makanan dari dua negara ini hampir mempunyai persamaan. Malah, sudah menjadi kebiasaan untuk rakyat dari kedua negara ini terutama dari Indonesia 'mengklaim' sesuatu juadah dengan menyatakan ia berasal dari negara mereka.

Namun, ia bukan bermakna semua makanan akan 'diklaim' kerana ada makanan yang sudah ketahui asal usulnya seperti nasi lemak dari Malaysia dan bakso dari Indonesia.

Terbaru, tindakan seorang pempengaruh media sosial Mat Saleh yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia suka 'mengklaim' makanan dari jiran seberang teruk dikecam. Manakan tidak, Mat Saleh tersebut berkata dalam satu video yang sudah dipadam, makanan Indonesia iaitu Cilok telah 'diklaim' oleh rakyat Malaysia.

Hal tersebut menjadi perbualan wargamaya yang hairan bagaimana Mat Saleh tersebut boleh berkata sedemikian memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak pernah mendengar makanan bernama Cilok atau tidak pernah tahu bahawa makanan ini wujud.

Bukan itu sahaja, beberapa orang pempengaruh media sosial lain juga berasa hairan dan menegur kenyataan tersebut dengan mengatakan bahawa makanan Cilok tidak begitu wujud di Malaysia.

Terkini, selepas ditegur, Mat Saleh yang dikenali sebagai Laurence Benson akhirnya akur bahawa beliau telah melakukan kesilapan dan mengaku bahawa dia mengatakan sedemikian selepas menonton video di mana Cilok dijual di beberapa kawasan di Malaysia. 

Melalui video terbaharu yang dimuat naik olehnya, Benson memohon maaf kepada rakyat Malaysia diatas kekhilafan beliau yang menuduh bahawa rakyat Malaysia cuba untuk menuntut makanan Indonesia.

“Saya suka Malaysia, saya suka orang Malaysia dan saya suka makanannya. Saya kurang teliti membuat video tersebut dan saya minta maaf,” katanya. 

@laurence_benson

My apology to Malaysia 🙏🏽

♬ original sound - Laurence Benson

 

Sumber: Instagram & TikTok

Destination: