Restoran Di Muar Ini Tawar Pengalaman 'Makan Dalam Kelas Sejarah'

FOODIE
December 10, 2021 - 09:42 AM


Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di pekan Muar pasti tidak akan terlepas pandang sebuah bangunan kedai berwarna kuning terang yang terletak di Jalan Sisi.

Terpampang di papan tanda “Muar Historia”, sepintas lalu premis itu tidak ubah seperti kedai antik menerusi susunan pinggan mangkuk lama di dalam almari kaca, selain mural Laksamana Cheng Ho mengalu-alukan ketibaan pengunjung.

Namun jangan terpedaya dengan dekorasi itu kerana premis berkenaan sebenarnya sebuah restoran yang menawarkan pelbagai hidangan yang sinonim dengan Johor selain menjadi antara katerer kegemaran keluarga diraja Johor.

Uniknya, menikmati hidangan seperti mi bandung Muar, mi rebus dan lontong di Restoran Rabbit Home Muar Historia ini umpama “makan di dalam kelas sewaktu pembelajaran subjek Sejarah”.

Ini kerana setiap inci dinding restoran itu dihiasi mural dan tulisan berinformasi tentang sejarah Muar bagi tempoh 1800 hingga 2000, selain susunan barang antik, artifak dan gambar hitam putih tokoh-tokoh ketika era Kesultanan Melayu Melaka memenuhi segenap ruang.

Mengulas dekorasi restorannya yang seakan-akan muzium, James Teo Peng Heng, 45 tahun berkata beliau mahu berkongsi sejarah Muar dengan pelanggan.

“Kita tiada muzium di Muar, jadi dengan mengubah suai restoran ini menjadi tempat menimba ilmu sambil menjamu selera bukan sahaja menawarkan satu kelainan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan,” katanya.

Menurut Encik Teo, beliau mengubah suai restoran yang diusahakannya sejak 2002 itu pada 2014 selepas satu pertemuan dengan pengumpul barangan bersejarah di Melaka yang “membuka matanya” selaku peminat sejarah dan pengumpul barang antik.

Sejarah Muar itu dipaparkan secara kronologi, bermula dengan ketibaan Parameswara hinggalah ke zaman Kesultanan Melayu Johor termasuk era pemerintahan Sultan Johor terkini Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menariknya, restoran ini meskipun dimiliki oleh James namun pengunjung lain tidak perlu risau tentang status Halal di sini kerana mereka memiliki pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Sumber: Bernama & Kredit Gambar: Restoran Rabbit Home Muar Historia

Destination: